Header Ads

Rangka mangsa pembunuhan kejam puak Serb terdedah selepas tasik dikeringkan

TASIK PERUCAC, Bosnia-Herzegovina: Ia peninggalan ngeri Perang Balkan.

Berpuluh rangka manusia terdedah selepas tasik buatan manusia dikeringkan bagi kerja penyelenggaraan.

(PENEMUAN NGERI: Para sukarelawan menggali dasar Tasik Perucac untuk mencari rangka mangsa Perang Bosnia. -Foto AP)

Kelmarin, sukarelawan dengan penyodok menyertai pakar forensik mencari lebih banyak rangka mangsa Perang Bosnia di tebing berlumpur Tasik Perucac, di timur Bosnia.

Pencarian itu bermula sebulan lalu selepas paras air yang diturunkan bagi kerja penyelenggaraan empangan, mendedahkan longgokan tengkorak dan tulang rangka mangsa perang 1992-1995 yang dibuang ke Sungai Drina, yang membahagikan Serbia dan Bosnia.


Penemuan itu menyebabkan pakar forensik merayu bantuan sukarelawan dan setakat ini mereka sudah berjaya menyusun 73 rangka lengkap.

Amor Masovic, ketua Institut Bosnia bagi Individu Hilang, berkata di bandar Visegrad yang berhampiran, seramai 824 penduduk Islam Bosnia dibunuh puak Serb pada permulaan perang itu.

Sebilangan besar mangsa dibuang dari satu jambatan dan mayat mereka melekat pada tebing tasik buatan itu.

Masovic berkata pembunuhan itu sangat berleluasa sehinggakan pada 1992 pengurusan janakuasa hidroelektrik dalam wilayah Serbia merayu menerusi radio supaya sesiapa saja yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu di Bosnia supaya 'berhenti membuang mayat ke dalam tasik kerana ia menyebabkan pembetung empangan itu tersumbat.'

Penyelenggaraan empangan Serbia itu akan berlanjutan sehingga pertengahan bulan depan sebelum paras airnya akan naik kembali.

Dengan bantuan kira-kira 100 sukarelawan, Masovic yakin pasukannya mampu memeriksa tebing sungai sepanjang 116 kilometer itu. -AP
Dikuasakan oleh Blogger.