Wanita Malaysia lebih ramai minat menderma berbanding lelaki - MasterCard
Lebih ramai wanita Malaysia berhasrat untuk menderma berbanding lelaki dalam tempoh beberapa bulan akan datang, demikian menurut kaji selidik pengguna dwitahunan MasterCard Worldwide.MasterCard dalam satu kenyataan hari ini berkata kaji selidik itu menunjukkan kira-kira 61 peratus daripada pengguna di Malaysia merancang membuat sumbangan derma dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Kaji selidik itu yang dijalankan antara Mac dan April 2010, menunjukkan 69 peratus daripada wanita di Malaysia merancang menderma, berbanding hanya 53 peratus lelaki," kata syarikat itu.
MasterCard berkata pengguna berusia antara 30-44 tahun (64 peratus) dan 18-29 tahun (60 peratus) nampaknya lebih bermurah hati berbanding golongan lebih berusia dari umur 45 ke atas (57 peratus).
Ia berkata di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, aliran peningkatan kemurahan hati jelas ketara.
"Satu daripada dua responden merancang menderma dalam tempoh enam bulan akan datang, dengan pengguna yang lebih berusia dan yang sudah berkahwin menerajui golongan itu," kata syarikat tersebut.
Sejumlah 10,920 pengguna di 24 pasaran di seluruh dunia dikaji selidik mengenai rancangan mereka untuk membuat sumbangan amal dalam tempoh enam bulan akan datang. -Bernama
Post a Comment