Header Ads

Projek RM12.79 juta terbengkalai: Penduduk minta kerajaan BN Johor tunai janji

KOTA TINGGI: Belum reda dengan isu Jambatan Sungai Kepala Orang, di sini, kini timbul rungutan penduduk yang mahu kerajaan menunaikan janji untuk melebarkan jalan.

Penduduk di Kampung Sungai Telor di sini, berharap agar jalan Kampung Sungai Telor dari Jalan Tai Hong ke Jalan Kulai dapat dilebarkan demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Seorang penduduk, Salmah Hussin, 49, berkata, jalan sepanjang kira-kira 13 kilometer itu sempit dan hanya boleh dilalui dua kenderaan dalam satu masa.

“Jalan ini adalah jalan alternatif dan kebanyakan pengguna biasanya melalui jambatan ini sebagai laluan mereka bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Salmah berkata, projek yang dijanjikan kerajaan terbengkalai sebelum Ramadan lalu dan kerja-kerja pembinaan jalan tidak menunjukkan sebarang petanda positif.

“Kami lihat ada jentera mengorek tanah di sini, tapi kerja-kerja penyelenggaraan masih belum dijalankan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Roslan Hussin, 43, berkata, penduduk khuatir jika jalan itu tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, mereka bimbang berlaku kemalangan dan sebagainya.

Menurutnya, perkara itu sebenarnya memerlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan agar setiap pembangunan yang dijalankan mengikut piawaian dan spesifikasi yang betul.

“Kita lihat papan tanda berhubung dengan kerja-kerja pembinaan jalan raya sudah ada dan kita berharap tempoh siap jalan raya itu nanti sama dengan kenyataan pada papan tanda tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek Gemilangjaya Bina Sdn Bhd, Mohd Huzairi Safaron berkata, projek yang dirancang itu bernilai RM12.79 juta termasuk kos membina jambatan Sungai Kepala Orang dan jalan serta memasang lampu ‘road line’.

“Kita akan bina jalan ini mengikut standard jalan kampung dan beberapa kemudahan lain,” katanya.

Bagaimanapun, Huzairi mengakui pihaknya terpaksa menghentikan sementara projek tersebut kerana terdapat beberapa masalah yang timbul dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kami terpaksa mengikut kehendak JKR sebagai pelanggan kerana agensi tersebut telah melantik perunding sejati sebagai perunding rekaan dan juru ukur rakyat jalan tersebut, selepas itu JKR melantik kami sebagai kontraktor yang bertanggungjawab membina jalan setelah mendapat pengesahan pelan tersebut,” katanya.

Namun katanya, pihaknya juga mengupah seorang juru ukur yang lain bagi menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah dan mendapati pelan ukuran jalan itu tidak tepat dan memasuki kawasan tanah penduduk kampung.

“Sekarang ini terdapat pertindihan masalah antara juru ukur yang dilantik JKR dengan juru ukur yang dilantik pihak kami dan perkara ini sudah dibawa dalam mesyuarat untuk pengetahuan pihak atas, namun ia masih tidak dapat diselesaikan,” katanya

Huzairi juga meminta agar perunding sejati supaya memantau perjalanan projek itu dan seterusnya memberi panduan kepada mereka sebelum melakukan sebarang kerja-kerja pembinaan jalan. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.