Pengerusi Felda nafi berpendapatan RM2 juta setahun
Tan Sri Mohd Yusof Nor hari ini menegaskan, pendapatan tahunannya selaku Pengerusi Felda adalah jauh lebih kecil berbanding jumlah didakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah, Sabtu lalu.Yusof bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar pendapatan beliau.
“Di Felda tentulah pendapatan pegawai tertinggi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) lebih tinggi.
“Selain itu, pengerusinya sama seperti amalan badan-badan berkanun lain dan pendapatannya adalah lebih kurang sahaja.
“Jumlah pendapatan saya adalah jauh lebih kecil daripada apa yang difitnahkan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Sabtu lalu, Sivarasa mencabar Yusof agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.
Sivarasa mendakwa maklumat diterima pihaknya menunjukkan Yusof memperoleh pendapatan mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan juga elaun.
“Saya nak tanya kepada beliau (Yusof) berapa jumlah ganjaran yang diperoleh sebagai Pengerusi Felda yang turut mengawal anak-anak syarikat Felda?
“Betul atau tidak pendapatan beliau termasuk gaji dan elaun mencecah sehingga RM2 juta setahun?” kata beliau.
Perkara ini ditimbulkan di sebalik dakwaan PKR bahawa Felda akan muflis manakala lebih 700 peneroka dari dua Felda menyaman agensi persekutuan RM200 juta berhubung isu penipuan dalam kiraan perahan minyak sawit.
Dua bulan lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa aliran wang tunai semasa Felda telah merosot berbanding lima tahun lalu.
“Kita ada adat, budaya dan tatasusila serta akhlak.
“Jadi kalau kita bertanya sesuatu, tanyalah dengan ikhlas dan sopan dan dengan mudah orang akan layan dengan lebih baik.
“Tapi kalau terdengar suara menyalak jangan kita sahut,” kata Yusof.
Felda diasaskan pada 1956 untuk membantu orang miskin kepada sebuah kawasan membangun.
Ia telah berkembang dan menjadi pembekal perladangan terbesar di dunia, dengan 811,140 hektar ladang kelapa sawit, terutama di Malaysia, dengan beberapa operasi di Indonesia. -Malaysian Insider
Post a Comment