Header Ads

Andy Murray kejutkan pemain nombor satu dunia

TORONTO, Canada: Andy Murray dari Britain mengejutkan pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal, 6-3 6-4 kelmarin untuk mara ke final pertandingan tenis Masters ATP Toronto.

Beliau akan menentang Roger Federer, yang mengalahkan Novak Djokovic 6-1 3-6 7-5 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kini Murray berharap menjadi pemain pertama sejak kejayaan Andre Agassi pada 1994-1995 memenangi kejuaraan trofi ini dua tahun berturut-turut.

Buat pertama kali dalam sejarah 23 tahun kejohanan di Canada ini, kesemua empat pemain utama dunia - Nadal, Djokovic, Federer dan Murray - turut bertanding dan melayakkan diri ke separuh akhir.

Ini merupakan kemenangan keempat bagi Murray yang kalah lapan kali dalam pertemuan dengan Nadal. Beliau turut mengalahkah jaguh Sepanyol itu dalam Terbuka Australia awal tahun ini tetapi tewas di separuh akhir Wimbledon bulan lalu.


"Gelanggang ini paling selesa bagi saya," kata Murray selepas kemenangan keempat daripada lima pertarungan dengan Nadal di gelanggang serupa ini.

"Saya seronok bermain dengan agresif apabila menentang pasukan-pasukan terkemuka dunia. Saya sedar saya perlu menunjukkan prestasi terbaik saya untuk mengalahkannya (Nadal)."

Pemain nombor empat dunia itu sedang memburu kejuaraan pertamanya musim ini selepas tewas kepada Federer dalam final di Melbourne dan terlepas peluang memenangi trofi dua minggu lalu selepas tewas kepada Sam Querrey dalam final di Los Angeles.

Bagi Nadal, juara bertahan Terbuka Perancis dan Wimbledon, ini merupakan kekalahannya yang keenam musim ini. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.