Header Ads

22 penyelewengan dan salah urus dalam Felcra telah didedah

Selepas Felda ‘diserang’ bertubi dengan pelbagai pendedahan penyelewengan pengurusan dan penyalahgunaan dana sehingga menyebabkan susutnya aliran tunai yang memungkinkan berlakunya bankrap seperti yang dilaporkan akhbar alternatif, semalam pula satu lagi badan pengurusan dana orang ramai (peneroka), Felcra berhadapan pendedahan yang sama.

Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman semalam telah mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat 22 penyelewengan dan salah urus dalam Felcra.

Ia melibatkan penyelewengan wang koperasi peserta Felcra Berhad (KPFB), penyelewengan di Special Business Unit (SBU) Felcra Berhad dan penyelewengan dalam pelaburan pembelian Bon yang bernilai RM17 juta yang tidak mendapat kelulusan. Selain itu, Anak turut mendedahkan berlakunya penyelewengan bekalan baja Keiserite yang tidak mematuhi spesifikasi.


Menurut Harakahdaily, pendedahan yang dibuat Anak itu akan dilakukan secara bersiri bagi mendapatkan respon daripada pihak Felcra samada mengaku berlakunya penyelewengan berkaitan atau menafikannya.

"Kita akan dedahkan perkara ini secara bersiri seperti yang dijanjikan pada himpunan pada 31 dan 1 ogos lalu" kata Mazlan pada sidang media di ibu pejabat PAS semalam.

Mazlan juga berkata pihaknya meminta masa selama seminggu untuk menyiapkan dokumen berkaitan peneyelewengan itu untuk diedarkan kepada media.

Pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu telah berlangsung satu himpunan warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak.

Himpunan tersebut bagaimanapun mendapat tekanan hebat dari pihak pengurusan Felcra sehingga menyaksikan lebih 20 ahli jawatankuasa penganjur ditangkap.

Program tersebut juga hanya berjaya diadakan satu hari setengah apabila pihak pihak anggota simpanan persekutuan (FRU) menggempur tempat himpunan seblum perasmian kemuncak dibuat pada malam 1 Ogos tersebut.

Dalam pada itu Mazlan turut mendesak satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat penyelewengan yang akan didedahkan itu.

Selain itu beliau juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyemak aduan yang telah dibuat bermula 31 Januari 2009.

Anak juga katanya telah menubuhkan satu NGO bagi membantu peserta Felcra menyalurkan aduan mereka serta menubuhkan badan bertindak untuk menyerahkan dokumen aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Turut hadir dalam sidang media berkaitan pendedahan Felcra itu, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Felcra, Akmaluddin Mohd Noor serta Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria.
Dikuasakan oleh Blogger.