Header Ads

PAS Maran kumpul beras dan gula bantu keluarga susah

PAS Kawasan Maran, Pahang melancarkan program Sekampit Beras, Sekilo Gula dengan mengumpul seberapa banyak beras dan gula daripada ahli yang berkemampuan untuk disumbangkan kepada keluarga memerlukan tanpa mengira fahaman politik atau bangsa.

Ahli jawatankuasanya, Mohd Shamsuri Hussin berkata, program julung kali itu diadakan bersempena Ramadhan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan, selain mengajak masyarakat menderma.

Menurutnya, amalan menderma satu sunnah yang digalakkan Rasulullah kerana ganjarannya sangat tinggi di sisi Allah.

“Sifat merendah diri dan ringan tangan yang diamalkan akan dapat dinikmati umat Islam sendiri serta masyarakat sekitar.


“Pada Ramadhan yang penuh keberkatan ini, PAS Maran mengajak umat Islam meningkatkan amalan baik dengan melakukan ibadat dan aktiviti seharian dengan harapan diterima Allah,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shamsuri yang juga Ketua Lajnah ICT PAS meminta ahli parti memperkasakan e-media PAS ke arah pemantapan gerak kerja untuk penerangan dan dakwah.

“PAS sebenarnya melaksanakan beberapa pendekatan dengan memanfaatkan teknologi ICT bagi mencapai kemajuan dalam pengurusan pilihan raya.

“Ahli disaran mempertingkatkan lagi penguasaan supaya kita dapat mendekatkan jurang dengan pihak lawan dalam konteks penyampaian maklumat secara pantas kepada ahli dan pengundi,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.