Pemain England wajar diejek penyokong sendiri - Capello
LONDON: Fabio Capello akui England wajar diejek ekoran daripada kegagalannya dalam Piala Dunia apabila anak buahnya turun menentang Hungary dalam perlawanan persahabatan di Stadium Wembley hari ini.Pasukan pimpinan Capello itu kembali beraksi buat pertama kali sejak kekecewaan di Afrika Selatan dan jurulatih England itu bimbang layanan buruk menanti mereka di Wembley.
England hanya menang sekali dalam empat perlawanan pusingan akhir Piala Dunia dan tersingkir di pusingan kedua selepas tumpas 1-4 di tangan Jerman.
Persembahan hambar England amat mengecewakan para penyokong yang bosan menyaksikan bintang-bintang bola sepak yang bergaji terlalu tinggi di arena antarabangsa dan mereka dijangka meluahkan perasaan mereka dengan mengejek mereka dalam perlawanan dengan Hungary.
Capello tidak menolak sama sekali beliau juga harus dipersalah dengan mengakui membuat kesilapan semasa Piala Dunia dan persiapan menjelang kejohanan tersebut.
Tetapi beliau tahu pemain-pemainnya yang akan menerima padahnya.
Oleh itu, Capello memutuskan akan menurunkan sebahagian besar pemain yang beraksi di Afrika Selatan dengan harapan mereka dapat mengatasinya dalam separuh masa pertama, sebelum memberikan pemain-pemain muda Arsenal, Jack Wilshere dan Kieran Gibbs, penampilan sulung mereka dalam suasana yang lebih tenang.
“Saya pasti 100 peratus (para penonton akan mengejek) dan saya memahami kenapa,” katanya.
“Kami menang dan kalah bersama. Saya pengurus pasukan dan saya juga patut diejek.”
“Saya cuba melakukan sesuatu yang berlainan dalam perlawanan ini.
“Pemain-pemain muda seperti (Jack) Wilshere dan (Kieran) Gibbs akan bermain.” -AFP
Post a Comment