Header Ads

Banjir: Angka korban terus meningkat di Pakistan, China dan India

ZHOUQU, China: Para pekerja penyelamat di tiga negara Asia, semalam bertungkus-lumus cuba menyelamatkan mangsa banjir ketika angka korban terus meningkat di Pakistan, China dan India.

(KEMBAR LAHIR DI TEPI JALAN: Askar Pakistan membawa bayi kembar lelaki yang dilahirkan Zahida Perween, di tepi jalan, dari sebuah helikopter ke sebuah ambulans yang akan membawa mereka ke hospital di Sunawa, di daerah Muzaffar Gar, dalam wilayah Punjab, kelmarin. -foto AFP)

Di Pakistan, banjir selama dua minggu telah mengorbankan lebih 1,600 orang dan menjejaskan 13.8 juta penduduk.

PBB berkata jumlah penduduk yang terjejas banjir paling buruk dalam 80 tahun itu melebihi jumlah gabungan tiga bencana besar.

“Nampaknya jumlah penduduk yang terjejas oleh bencana di Pakistan melebihi jumlah yang terjejas oleh gempa bumi Haiti, tsunami Asia dan gempa bumi Pakistan, digabungkan,” kata Maurizio Giuliano, jurucakap Pejabat Penyelaras Ehwal Kemanusiaan PBB (Uncha) kepada Associated Press.


Para pekerja penyelamat masih belum dapat menghantar bantuan kepada 600,000 penduduk yang terperangkap di Lembah Swat, barat laut Pakistan, kata Giuliano.

“Tragedi ini sungguh besar,” kata Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani, semasa melawat bandar Multan.

Di wilayah Kashmir yang ditadbir India, pekerja penyelamat menjumpai lebih banyak mayat, menjadikan jumlah korban akibat banjir kilat di wilayah Ladakh Jumaat lalu kepada 165 orang.

Beribu askar meneruskan operasi bantuan tetapi 200 orang masih hilang, kata seorang jurucakap tentera, Leftenan Kolonel J. S. Brar.

Di China, jumlah korban meningkat kepada 702 semalam, selepas kejadian tanah runtuh melanda wilayah Gansu, barat negara itu.

Sungai yang terempang tanah runtuh membanjiri seluruh kampung di Zhouqu dan menghanyutkan rumah penduduk.

Pemerintah berkata 1,148 orang masih hilang dan 45,000 penduduk sudah dipindahkan.

Jawatankuasa Politburo Parti Komunis dijangka mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan operasi bantuan dan menyelamat.

Khemah, selimut, makanan dan air minum sudah dikejarkan ke kawasan bencana, sehingga menimbulkan kesesakan lalulintas.

“Hanya segelintir saja penduduk yang terselamat. Kebanyakan mereka mati tertimbus tanah,” kata Guo Wentao, seorang mangsa yang terselamat.

Associated Press Television News menunjukkan mayat adik lelaki dan perempuan diusung pergi oleh sanak-saudara yang meraung kesedihan.

Semalam seorang lelaki berusia 52 tahun telah ditarik keluar daripada runtuhan sebuah bangunan apartmen di Gansu, lapor agensi berita Xinhua.

Seorang lagi mangsa yang terselamat di Gansu, Yang Zhukai, kini memulakan tugas membuat keranda bagi 10 hingga 20 sanak-saudaranya yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Zhouqu. -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.