Gerrard ikrar kekal di Anfield
LONDON: Bintang midfield England, Steven Gerrard, menyemarakkan semangat Liverpool dengan ikrarnya untuk kekal bersama kelab di Anfield itu.Masa depan pemain pujaan para penyokong Liverpool itu menjadi tanda tanya sepanjang musim panas ini tetapi beliau akui tidak sabar untuk bermain di samping pemain baru, Joe Cole, yang dibeli dari Chelsea.
(Gambar: Gerrard beri komitmen kerana yakin dengan perancangan Hodgson.)
Kapten Liverpool berusia 30 tahun itu kembali menyertai latihan pramusim di padang Melwood kelmarin dan tidak membuang masa menyatakan tentang perancangan peribadinya.
Beliau mendedahkan bagaimana pengurus baru Liverpool, Roy Hodgson, meyakinkannya supaya kekal di Anfield selepas hubungannya dengan bekas pengurus, Rafael Benitez, terurai pada musim lalu.
Gerrard berkata, “Saya telah menjelaskan bahawa saya perlu memberi perhatian kepada Piala Dunia, kemudian bercuti dengan keluarga saya.
“Saya benar-benar mahu menemui Roy Hodgson dan selepas berbuat demikian, saya amat tertarik dengan perancangannya.
“Saya hanya kembali berlatih hari ini (Selasa) dengan beberapa pemain Piala Dunia tetapi saya tidak sabar menunggu bermulanya musim baru.”
Ulasan Gerrard itu datang hanya sehari selepas Liverpool mendapatkan pemain midfield England, Joe Cole, yang telah tamat kontraknya dengan Chelsea.
Ini meningkatkan lagi harapan para peminat bahawa kelab Merseyside itu mampu bersaing merebut kejuaraan selepas menduduki tangga ketujuh dalam Liga Perdana musim lalu.
Gerrard dan penyerang Sepanyol, Fernando Torres, merupakan dua pemain berharga Liverpool dan mereka telah diandaikan akan meninggalkan kelab tersebut, yang dilaporkan menanggung hutang RM1.719 bilion
Apa yang membuat Gerrard dan Torres gembira adalah keutamaan yang diberikan Hodgson, yang meninggalkan Fulham selepas Liverpool memecat Benitez Jun lalu.
Gerrard telah bersama Liverpool sejak di bangku sekolah dan beliau merupakan antara tunggak pasukan Liverpool.
Hodgson jelas gembira sekali mendengar komen Gerrard ini.
“Ia adalah satu berita yang menggembirakan,” katanya.
“Tiada seorang pun di Liverpool yang tidak gembira mendengar berita ini.
“Saya sungguh gembira kerana saya amat menghormati Steven Gerrard. Beliau adalah pemain yang saya ghairah bekerjasama apabila saya ke Liverpool.
“Nampaknya kini dengan komitmen yang diberikan, harapan saya menjadi kenyataan. Ia menyemarakkan semua di kelab ini.
“Kita bakal menghadapi musim yang sukar dan kami memerlukan sedikit masa untuk mengatasi kekecewaan musim lalu. Satu perkara yang baik ialah pemain-pemain terbaik kami masih bersama kelab ini, “ kata Hodgson.
Gerrard menjadi buruan pengurus baru Real Madrid, Jose Mourinho. Gerrard melahirkan keghairahannya untuk bermain di samping Cole dan beliau telah memainkan peranan memujuk bekas pemain Chelsea itu agar berpindah ke Anfield.
“Saya telah menyaksikan dari dekat betapa bagusnya Joe,” kata Gerrard.
“Beliau telah membuktikan kemampuan sejak beberapa tahun lalu, dan ada masanya semasa menentang kami.
“Jadi bermain di sampingnya merupakan kesempatan yang hebat.” -The Sun, Reuters
Post a Comment