Header Ads

Terengganu mahu kekal beraksi cemerlang untuk kekal di tangga ketiga Liga Super 2010

KUALA TERENGGANU: Pasukan Bola Sepak Terengganu berada pada kedudukan selesa untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini.

Pasukan itu berpuas hati berada pada tangga ketiga dengan 47 mata sekali gus mahu kekal beraksi cemerlang dengan memenangi kesemua tiga perlawanan berbaki melalui Liga Super musim ini.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkata, peluang untuk pasukannya berada di tangga kedua masih ada tetapi agak sukar mencari mata menerusi tiga perlawanan yang berbaki bagi mengatasi pasukan di tempat kedua, Kelantan dengan 52 mata.

“Kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk harungi tiga perlawanan berbaki.

"Walaupun agak sukar mengatasi pasukan Kelantan, tetapi kami akan cuba memenangi kesemua perlawanan bagi mengekalkan semangat pemain,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Terengganu akan bertemu Perlis pada 28 Julai dan Selangor, 31 Julai. Kedua-dua perlawanan ini berlangsung di tempat lawan manakala perlawanan terakhir akan berdepan KL Plus yang berlangsung di tempat sendiri.

“Halangan untuk kami memenangi kesemua perlawanan berbaki adalah Selangor yang dijangka memberi saingan sengit, namun mengikut rekod kami berdepan Selangor sepanjang Liga musim ini, ia berada pada tahap baik apabila kami berjaya menundukkan pasukan itu 4-0 pada perlawanan pusingan pertama lalu.

“Kami juga mempunyai rekod baik berdepan Selangor di tempat lawan, cuma, kami perlu lebih berwaspada untuk menundukkan pasukan di tangga teratas liga apabila beraksi di tempat mereka nanti,” katanya.

Mengulas perlawanan berdepan Perlis 28 Julai ini, Irfan berkata, pasukannya yakin akan menang memandangkan kesebelasan utama pemain akan turun beraksi.

“Walaupun berlangsung di tempat lawan, kami percaya, pemain mampu hadapinya dengan baik, sekali gus berjaya memenangi perlawanan,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.