Header Ads

Piala Eximbank: Skuad Rajagobal tewas kepada Vietnam 1-2

Skuad bola sepak kebangsaan terpaksa tunduk kepada pasukan yang dikalahkan dalam final Sukan Sea tahun lepas, Vietnam 1-2 semalam di Stadium Thong Nhat.

Aksi sulung kurang menyengat skuad kendalian K Rajagobal dalam Piala Eximbank yang turut disertai Singpura dan Iran itu dihukum barisan serangan tuan rumah pada minit awal perlawanan.

Gawang Malaysia robek pada minit ke-19 menerusi jaringan Nguyen Anh Duc menjadi 1-0. Selepas itu pasukan tuan rumah terus menjarakkan kedudukan 2-0 juga menerusi Nguyen Anh Duc pada minit ke-26.

Tersentak dengan ketinggalan 0-2, barisan bawah 23 negara berusaha untuk bangkit apabila berjaya merapatkan kedudukan 1-2 menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha di minit terakhir separuh masa pertama.

Malaysia membuat pertukaran penyerang apabila mengeluarkan Safee Sali digantikan dengan Ahmad Fakri Saarani dan Norshahrul Idlan Talaha dengan Izzaq Faris Ramlan.

Namun usaha skuad kendalian Rajagobal untuk mendapatkan gol penyamaan tidak kesampaian walaupun bertungkus lumus di separuh masa kedua menerusi beberapa gerakan berbahaya ke kubu tuan rumah.

Separuh masa kedua, Malaysia cuba membuat beberapa gerakan berbahaya ke kubu tuan rumah bagi mendapatkan gol penyamaan, namun gagal ditembusi penyerang negara.

Perlawanan berkenaan dilihat berlaku berat sebelah oleh pengadil yang cuba memihak kepada tuan rumah apabila tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemain Vietnam ketika menjatuhkan Izzaq Faris yang cuba membawa bola ke kawasan berbahaya tuan rumah di minit-minit terakhir perlawanan.

Pintu gol tuan rumah terselamat apabila kekalutan yang berlaku selepas sepakan percuma berbahaya pemain negara di luar kotak penalti berjaya dipatahkan.

Pasukan bawah 23 negara terpaksa akur dengan dendam tuan rumah yang terbalas selepas kalah di final Sukan Sea 2009. Kekalahan itu akan memeningkan kepala pengendali skuad negara yang membuat persediaan Sukan Asia di Guangzhou, China, November ini.

Aksi perlawanan lain kejohanan Piala Eximbank, Singapura mengikat skuad bawah 21 Iran 1-1. Perlawanan seterusnya, Malaysia akan bertemu dengan skuad Olimpik Iran esok, Khamis kemudian berdepan Singapura dalam penentuan terakhir Sabtu ini.
Dikuasakan oleh Blogger.