Header Ads

Measat disaman RM1.34 bilion

KUALA LUMPUR: Syarikat pembekal peralatan sokongan televisyen mengemukakan saman RM1.34 bilion terhadap Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd berhubung pelanggaran perjanjian maklumat sulit membabitkan sistem kaburan hujan bagi mengurangkan gangguan transmisi satelit.

AV Asia Sdn Bhd melalui peguamnya Ravi Sodhi memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutannya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi semalam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, V Vijayakumar.

Selain Measat Broadcast, AV Asia yang bertindak selaku plaintif turut menamakan Tele Systems Electronic (M) Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

Plaintif juga menuntut RM4.4 juta bagi kos penyelidikan serta memohon injunksi menghalang Measat menggunakan mana-mana bahagian maklumat sulit berkenaan dan membekalkan kepada pelanggannya piring satelit yang direka menggunakan maklumat itu.

A V Asia turut memohon injunksi menghalang defendan kedua menggunakan maklumat rahsia yang diberikan plaintif kepada Measat untuk membekalkan kepada Measat dan pelanggannya piring satelit yang direka menggunakan maklumat sama. -BHarian
Dikuasakan oleh Blogger.