Header Ads

Warga China dipenjara kerana ugut siar gambar bogel kenalan wanita

SINGAPURA: Seorang warga China yang mengancam akan menyiarkan gambar-gambar bogel seorang kenalan wanita jika kenalan itu tidak memberinya RM11,706 dikenakan hukuman penjara sembilan bulan kelmarin.

Menurut The Straits Times, Wang Bo, bekas seorang pekerja pembersihan, mengaku membuat ancaman itu untuk memalukan Qiu Xia, 24 tahun, seorang atendan bilik.

Dia melakukan demikian antara 28 dengan 30 Jun lalu dengan niat menyebabkan mangsa berasa cemas.

Mahkamah diberitahu bahawa Wang, 23 tahun, menghantar beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Qiu untuk menuntut RM11,706, jika tidak dia akan menyiarkan gambar-gambar bogel mangsa di Internet.

Wang telah pun ditangkap pada 30 Jun lalu. Hasil siasatan menunjukkan tertuduh sebelum itu telah diminta membaiki komputer riba mangsa. Semasa menjalankan kerja-kerja pembaikan itu, tertuduh menemui beberapa gambar mangsa dalam komputer tersebut.

Wang kemudian memindahkan gambar-gambar itu kepada komputer ribanya sendiri dan mengancam akan mengubah suai gambar-gambar tersebut menjadikannya gambar-gambar bogel sebelum menyiarkannya di Internet.

Siasatan lanjut juga menunjukkan mangsa sebenarnya merupakan kawan seorang rakan serumah Wang.

Oleh kerana Wang tidak menyukai lawatan kerap mangsa ke rumahnya, dia memutuskan menghantar SMS tersebut untuk menakut-nakutkan mangsa.

Wang juga didenda RM11,470 atau empat minggu penjara kerana memiliki filem-filem lucah di premis sewanya di Beach Road.
Dikuasakan oleh Blogger.