Liga Juara-Juara Eropah: Chelsea kembali dengan rentak meyakinkan
MARSEILLE: Chelsea kembali dengan rentak meyakinkan susulan kejayaan 2-0 ke atas juara Perancis, Marseille.Chelsea yang tewas kepada Manchester City minggu lalu memperolehi gol awal yang dihasilkan John Terry dan sepakan penalti yang disempurnakan Nicolas Anelka dalam separuh masa pertama.
Kemenangan itu menyaksikan The Blues berada di puncak Kumpulan F dengan perbezaan gol berbanding Sparktak Moscow selepas dua perlawanan.
Chelsea turun tanpa empat tonggak utama, Frank Lampard, Salomon Kalou, Yossi Benayoun yang tercedera manakala Didier Drogba digantung perlawanan.
Gael Kakuta membuat penampilan pertama di pentas Eropah sambil Yuri Zhirkov mengisi kekosongan di bahagian tengah.
Marseille berhadapan dengan ancaman pasangan Perancis, Anelka dan Florent Malouda.
Terry memecah kebuntuan hasil daripada situasi bola mati yang diambil Kakuta pada minit ke-7 untuk mengatasi Benoit Cheyrou di penjuru gawang.
Semangat pelawat makin pudar apabila Chelsea dihadiahkan sepakan penalti selepas Stephane Mbia menampan bola dengan tangan.
Marseille sempat melakukan beberapa percubaan tetapi mendapati jentera serangannya kurang berbisa.
Chelsea hampir menambah satu gol lagi tetapi tiang gol menjadi penyelamat buat skuad bimbingan Didier Deschamps hasil sepakan percuma padu yang dilepaskan Alex. -AFP
Post a Comment