Header Ads

Zulkifli tidak matang, kerana Tony Phua, seluruh DAP dihukum

SENAI: Desakan Ahli Parlimen Bebas dari Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (Gambar) yang mahukan DAP diharamkan adalah tidak berasas kerana parti tersebut adalah sebuah parti politik yang sah serta didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai dari DAP, Ong Kow Meng berkata, kenyataan Zulkifli dalam laman blognya kelmarin amat tidak berasas kerana DAP sudah berusia hampir 40 tahun dan diiktiraf sebagai antara parti utama di negara ini.

Menurutnya, Zulkifli sebagai seorang Ahli Parlimen seharusnya menyedari pandangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua yang mahukan diskaun rumah mewah dan bangunan komersial kepada bumiputera dipotong hanyalah pandangan peribadi.

“Tidak patut hanya pandangan seorang pemimpin DAP (Tony), keseluruhan parti DAP dihukum. Ia hanyalah pandangan peribadi beliau.


“Oleh itu kenyataan Zulkifli seharusnya dilihat sebagai tidak munasabah dan amat tidak matang bagi seorang Ahli Parlimen berfikiran demikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ditanya rasional pandangan Tony Phua tersebut, Ong bersetuju diskaun tersebut dikekalkan hanya kepada golongan yang berpendapatan rendah tetapi tidak kepada rumah mewah yang bernilai jutaan ringgit.

Katanya, mereka yang sudah bergelar jutawan tidak memerlukan diskaun seperti ini kerana diskaun tersebut seharusnya diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah tidak mengira kaum.

“Bagi yang miskin, diskaun ini amat rasional kerana mereka memang memerlukannya. Tetapi kepada mereka yang sudah menjadi jutawan, kenapa masih perlu diskaun?” Katanya.

Kelmarin, Zulkifli menegaskan DAP patut diharamkan kerana jelas parti tersebut mengamalkan sikap cauvinis, perkauman, ala komunis, anti Melayu, anti Islam dan anti Perlembagaan Negara kerana Tony Phua berani mempertikaikan hak bumiputera. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.