Header Ads

Rakyat Amerika sangka Obama beragama Islam

WASHINGTON: Lebih ramai rakyat Amerika Syarikat yang mempunyai salah tanggapan bahawa Presiden Barack Obama beragama Islam.

Menurut satu tinjauan terbaru yang didedahkan semalam, sekitar 18 peratus rakyat Amerika mempunyai tanggapan itu. Ini berbanding dengan 11 peratus yang beranggapan demikian pada Mac 2009.

Peratusan rakyat Amerika yang memberi jawapan betul bahawa Obama beragama Kristian telah merosot kepada 34 peratus. Majoriti responden atau 43 peratus berkata mereka tidak tahu apa agama yang dianuti Obama.


Peratusan itu meningkat berbanding 34 peratus yang memberi jawapan serupa itu pada awal 2009. Tinjauan itu dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew dan Forum Pew berkaitan Agama dan Kehidupan Awam.

Ia berdasarkan wawancara yang dijalankan sebelum kontroversi sama ada sebuah masjid harus dibenarkan dibina berdekatan tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang menjadi sasaran pengganas pada 9 September 2001.

Minggu lalu, Obama berkata beliau percaya penganut Islam mempunyai hak untuk membina sebuah pusat Islam di situ walaupun beliau kemudian menjelaskan beliau tidak akan mengambil sembarang pendirian sama ada pusat itu harus dibina atau tidak.

Dalam satu tinjauan berasingan yang dijalankan oleh majalah Time/ABT SRBI pada Isnin dan Selasa lalu, 24 peratus percaya Obama ialah seorang Muslim; 47 peratus berkata beliau beragama Kristian dan 24 peratus tidak tahu atau tidak memberi sembarang respons.

Dalam tinjauan itu, 61 peratus responden membantah pembinaan pusat Islam berdekatan tapak WTC sementara 26 peratus menyokongnya.

Obama beragama Kristian walaupun ayahnya yang berasal dari Kenya beragama Islam. Daripada usia enam hingga 10 tahun, Obama menetap di Indonesia bersama ibu dan bapa tirinya yang merupakan seorang warga Indonesia.

Nama penuhnya, Barack Hussein Obama, yang bunyinya seakan nama Islam menyebabkan kekeliruan berkaitan agama yang dianuti Obama.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pew, Andrew Kohut, berkata kekeliruan itu sebahagian besarnya mencerminkan 'meningkatnya pandangan negatif mengenai Obama di kalangan pengkritiknya'.

Enam daripada 10 orang yang ditinjau berkata mereka memperoleh maklumat bahawa Obama seorang Muslim daripada media. -AP
Dikuasakan oleh Blogger.