Header Ads

Penggabungan Proton-Perodua tidak mungkin jadi kenyataan - OSK Research

Firma penyelidikan terkemuka, OSK Research, percaya cadangan penggabungan antara Proton dengan Perodua tidak mungkin menjadi kenyataan kerana langkah itu dijangka menghadapi bantahan daripada Perodua, pembuat kereta nasional kedua.

Ia berkata Perodua, yang kini berada pada kedudukan yang lebih baik dari segi penguasaan pasaran dan model perniagaan lumayan, tidak akan bersedia untuk berkompromi.

Begitu juga, Daihatsu Motor Co Ltd, rakan kongsi teknologi utama (yang modelnya digunakan oleh Perodua) dan pemegang saham Perodua dengan kepentingan sebanyak 20 peratus dalam keputusan yang dibuat oleh Perodua, juga amat bergantung kepada sumbangan jualan daripada anak-anak syarikatnya di Asia, iaitu Perodua Manufacturing (Malaysia) dan PT Astra Daihatsu (Indonesia).


"Kami difahamkan konsep 're-badging' Daihatsu (yang membenarkan pembuat kereta lain menggunakan modelnya) di Asia menghasilkan margin kendalian yang lebih tinggi berbanding bahagian domestiknya di Jepun.

"Selain itu, isu-isu seperti menyepadukan teknologi dan mesin pengeluaran antara kedua-dua pembuat kereta itu dijangka sukar dalam jangka terdekat ini," katanya. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.