Header Ads

Kematian ADUN Permatang: Kes selesai dan diklasifikasikan 'bunuh dan bunuh diri'

Siasatan kes bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Datuk Abdul Aziz Mohd Noh yang ditemui mati dengan kesan tembakan bersama bekas pembantu peribadinya Siti Rohana Ismat telah selesai sepenuhnya, kata polis.

Sehubungan itu, polis telah menutup siasatan kes itu.

Motif kejadian telah dikenalpasti, tetapi tidak boleh didedahkan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.


Beliau berkata kertas siasatan sedang dikemaskini dan dalam peringkat akhir untuk diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi persetujuan menutup kes. "Tiada keperluan untuk dedahkan motif (kejadian) itu. Tiada suspek, individu mahupun orang ketiga yang dicari. Kes dianggap selesai dan diklasifikasi sebagai bunuh dan bunuh diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sistem Anti Hijack di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada kawan dan anggota keluarga kedua-dua mangsa dan mendapati tiada kejadian misteri berlaku.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi Selasa lepas, Abdul Aziz, 64, dan Siti Rohana, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala masing-masing dalam sebuah kereta yang terbabas di Km 455.7 Leburaya Utara Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh.

Abdul Aziz adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Tanjung Karang manakala Siti Rohana merupakan Naib Ketua Wanita Umno bahagian itu. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.