Header Ads

Formula Future Dunia: Malaysia sekadar berpuas hati di tangga ketiga

Hasrat Malaysia untuk merampas kembali gelaran juara dunia yang telah dimenangi sebanyak empat kali sebelum ini terkubur apabila sekadar memenangi tempat ketiga pada Kejohanan Formula Future Dunia di Empangan Carr Mill, St. Helens, Merseyside, England.

Ketua jurulatih negara, Syed Abdul Hamid Syed Alwee berkata, pasukan Malaysia yang diwakili 10 pilot (pemandu) gagal menandingi persaingan sengit oleh tujuh lain negara yang bertanding pada kejohanan yang berakhir semalam.

"Pasukan negara telah mencuba sebaik mungkin namun terlalu banyak kekangan yang terpaksa kami lalui. Kami masih berbangga dengan pencapaian yang dikecapi.


"Selain itu, faktor cuaca yang sejuk dan tidak menentu, dengan hujan dan angin sepanjang hari dan suhu sekitar 9-14 darjah Celsius menyukarkan lagi pasukan negara untuk beraksi dengan baik," katanya dalam kenyataan semalam.

Syed Abdul Hamid turut melahirkan rasa kesal dengan mutu pengadilan kejohanan kali ini yang didakwa bersifat berat sebelah.

"Saya dan beberapa wakil negara yang bertanding sependapat bahawa penganjur kejohanan kali ini iaitu Royal Yacht Association telah melantik pegawai yang tidak bertauliah serta kurang pengetahuan dan pengalaman untuk pertandingan.

"Ekoran itu, harapan pasukan Malaysia untuk memenangi kejuaran dunia terjejas apabila mereka telah mengenakan penalti yang tidak sepatutnya kepada pilot yang bertanding," katanya.

Syed Abdul Hamid berkata, Malaysia telah membuat bantahan secara rasmi kepada Union Internationale Motonatique (U.I.M) berkenaan isu itu, tetapi ditolak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Air Bermotor Malaysia (PESUAM), Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee turut berasa terkilan atas apa yang berlaku tetapi memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan negara.

Pasukan Malaysia memungut 293.3 mata untuk menduduki tempat ketiga di belakang pasukan Jerman dan Republik Czech.

Jerman muncul juara dengan pungutan mata sebanyak 344 mata diikuti oleh Republik Czech dengan 317.67 mata.

Malaysia menjuarai kejohanan dunia itu pada 2004 dan 2005 di Lisbon, Portugal, 2007 di Leer, Jerman dan terakhir di Ravenna, Italy pada 2008. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.