"Maaf, boleh saya rompak barang mak cik?"
LEDANG: Seorang suri rumah terkejut apabila empat lelaki yang dipercayai warga Indonesia meminta barangan berharganya secara sopan santun ketika merompak rumahnya, pagi kelmarin.'Mereka terlalu baik kerana kami empat beranak tidak diapa-apakan, malah meminta secara berhemah dan sopan santun supaya kami tidak melawan,' kata Cik Hamidah Ali, 52 tahun, yang kehilangan lebih RM5,000.
Dalam kejadian sekitar 2.30 pagi itu, rumah Cik Hamidah di Kampung Gelugor, Bakit Kangkar di sini, dimasuki penjenayah terbabit ketika seluruh ahli keluarganya lena.
Sebaik memasuki rumah tersebut, penjenayah terbabit mengejutkan Cik Hamidah dan suaminya, Encik Abdul Salam Aman, 52 tahun, sebelum menanggalkan rantai leher dipakainya ketika itu.
'Peliknya mereka tidak terus merentap rantai leher saya, sebaliknya meminta secara baik menyerahkan rantai itu sebelum mengikat kami berdua menggunakan dawai penyangkut baju.
'Dua lagi rakan penjenayah itu masuk ke bilik dua anak saya berusia 15 dan 17 tahun, seterusnya mengambil komputer riba dan telefon bimbit,' katanya ketika ditemui.
Cik Hamidah berkata, beliau hairan sebab walaupun penjenayah tersebut bersenjatakan parang, ia tidak digunakan atau diacukan kepada ahli keluarga.
Sebaliknya, mereka secara 'berhemah' meminta kami mengikut arahan supaya tidak melawan sebelum mengambil barangan berharga termasuk wang tunai suami bernilai RM350.
Katanya, sepanjang 20 minit menggeledah rumah, empat penjenayah terbabit langsung tidak meninggikan suara.
Cik Hamidah percaya penjenayah itu memasuki rumahnya melalui ruangan kosong antara bumbung dan dinding rumah selebar dua meter.
'Mak cik percaya seorang penjenayah itu memanjat dinding rumah sebelum meloloskan diri daripada lubang itu. Dia membuka pintu rumah untuk tiga rakannya,' katanya.
Cik Hamidah serta suami melaporkan kejadian itu di balai polis berhampiran kira-kira sejam selepas membuka ikatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Harun Idris, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan masih lagi dijalankan bagi mengesan empat suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 kerana melakukan samun berkumpulan. -HMetro
WarkahDaily - Macam-macam ragam nak buat jahat. Nak merompak pun, bukan main 'bersopan' lagi. Kenapa, tak berdosa ke, atau tak salah ke jika mintak izin camtu.
Daripada mintak izin nak rompak, baiklah pi mintak sedekah kat tepi-tepi stesen bas atau mana-mana tempat yang boleh mintak sedekah.
Post a Comment