Kerosakan pedal minyak: Toyota sedia bayar denda AS$16.4 juta
Toyota Motor Corp. dijangka menandatangani dokumen menandakan bersetuju membayar denda sebanyak AS$16.4 juta kepada pemerintah Amerika Syarikat kerana menyembunyikan masalah kerosakan pedal minyak pada Januari lalu.'Dengan membayar sepenuhnya denda tersebut, Toyota memikul tanggungjawab kerana menyorok kerosakan yang melanggar undang-undang,' kata seorang pegawai kanan Amerika kepada AFP lewat kelmarin.
Toyota dilaporkan mengetahui kerosakan pedal minyak pada September tahun lepas tetapi tidak mengeluar arahan menarik balik kenderaan sehingga Januari tahun ini.
Di bawah undang-undang federal, syarikat pengeluar kereta dikehendaki memberitahu pemerintah dalam tempoh lima hari kerja apabila mereka mendapat terdapat kerosakan yang boleh menjejas keselamatan.
Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Amerika berkata, Toyota dijangka membayar sepenuhnya denda tersebut dalam masa 30 hari bagi mengelak daripada terpaksa pergi ke mahkamah untuk membantah keputusan pemerintah.
Toyota gagal melaporkan kerosakan pedal minyak yang berbahaya selama empat bulan walaupun tahu risikonya kepada pengguna kenderaan, kata Penguasa Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA).
Awal bulan ini Jabatan Pengangkutan berkata ia mahu Toyota dikenakan denda maksimum sebanyak AS$16.375 juta.
Toyota mempunyai masa sehingga semalam untuk bersetuju membayar denda atau membantahnya.
Jika kedua-dua pihak tidak mahu kes itu diselesaikan, ia terpaksa di bawa ke mahkamah.
Toyota telah menarik balik 2.3 juta kenderaan di Amerika Syarikat kerana kerosakan pedal minyak, terutama model Camry dan Corolla.
Secara keseluruhan Toyota telah menarik balik lebih 8 juta kenderaan di seluruh dunia disebabkan masalah pedal minyak dan brek.
Masalah pedal minyak dilapor mengakibatkan lebih 50 kematian di Amerika Syarikat dan Toyota kini menghadapi sejumlah kes lain di mahkamah Amerika.
Denda tersebut merupakan yang terbesar yang boleh dikenakan berdasarkan undang-undang Amerika.
Jika tiada sekatan, para peguam berkata Toyota mungkin menghadapi denda berjumlah AS$13.8 bilion, atau AS$6,000 bagi setiap satu daripada 2.3 juta kenderaan yang mengalami kerosakan pedal minyak. -AP, AFP, Reuters
Post a Comment