Header Ads

Mantan Ketua Kampung diabai BN

(USANG….balairaya usang dan bekas surau lama masih menjadi tempat berteduh bagi tiga keluarga Gumin Bin Sabilan -foto SK)

BENCANA kebakaran yang menimpa Mantan Ketua Kampung Logkou Lama, Kiulu, Sabah, Gumin bin Sabilan dan dua ahli keluarganya pada 14 disember 2009 sekitar jam 11.30 pagi menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang kerana api telah memusnahkan seluruh harta benda di tiga buah rumah kediaman mereka.

Malangnya, pihak bomba hanya tiba ke Kampung Logkou setelah ketiga-tiga buah rumah itu musnah dijilat api. Bencana ini telah mengejutkan seluruh penduduk Kampung Logkou Lama dan kampung-kampung yang berdekatan dengannya.

Pada masa yang sama, wakil rakyat kawasan Kiulu telah datang sendiri ke tempat kejadian yang telah menimpa keluarga ini. Apa yang diharapkan mangsa adalah bantuan tempat tinggal iaitu rumah PPRT.

Namun mereka amat terkilan kerana keluarga mereka yang sepatutnya mendapat peruntukan rumah PPRT dan sumbangan kilat di atas bencana yang tidak diduga; tidak mendapat apa-apa bantuan yang diharapkan kerana terlalu banyak prosedur yang perlu dipenuhi.

Keluarga mangsa difahamkan oleh Wakil Rakyat, bahawa mereka perlu membuat surat permohonan rasmi, membuat laporan polis dan menyertakan gambar rumah terbakar ke pejabat Adun.

Bagaimanapun, setelah siap laporan polis dibuat dan syarat dipenuhi, keluarga ini telah menghantar permohonan rasmi ke Pejabat Adun berkenaan, mereka sekali lagi dikecewakan kerana Adun tersebut meminta wakil keluarga mangsa membuat surat baru dan terus menghantarnya ke pejabat Ahli Parlimen kerana parlimen mempunyai banyak peruntukan berbanding dengan Adun.

Sekali lagi keluarga mangsa menulis surat baru untuk ditujukan kepada Ahli Parlimen Tuaran lalu diserahkan kepada Ketua Perhubungan Parlimen untuk diserahkan kepada Ahli Parlimen berkenaan, namun tidak memberikan sebarang harapan.

Pejabat Perhubungan Ahli Parlimen Tuaran meminta wakil keluarga merujuk kembali permohonan ini pada 28 Januari 2010 dan mereka terpaksa tinggal bersesak-sesak di bekas surau yang telah usang sebagai tempat berteduh.

Sebagaimana dijanjikan, pada 28 Januari 2010, sekali lagi keluarga mangsa merujuk perkara yang sama tetapi sekali lagi mereka dikecewakan kerana pada hari tersebut pihak perhubungan parlimen menyatakan ketiga-tiga keluarga akan diberikan bantuan; tetapi tidak dapat dijanjikan bila bantuan rumah PPRT ini dapat diberikan kepada keluarga yang malang ini.

Mereka hanya dijanjikan akan diberikan bantuan sejumlah RM360 sahaja sebagai saguhati; menyebabkan keluarga mangsa kecewa kerana apa yang mampu dibuat dengan wang RM360 bagi satu keluarga?

Menurut keluarga mangsa, mereka tidak mengharapkan bantuan wang ringgit, sebaliknya mendambakan rumah PPRT yang telah dilaung-laungkan oleh kerajaan khas untuk keluarga yang susah dan hilang tempat tinggal disebabkan oleh bencana yang diduga.

Keluarga mangsa difahamkan bahawa peruntukan ini diberi kepada semua Adun dan ahli parlimen seluruh Sabah tetapi kenapa kawasan yang diduduki oleh keluarga ini seperti tidak diendahkan oleh pihak yang berkenaan?

Cuba bayangkan berapa banyakkah kes seperti ini berlaku dalam setahun? Kalau dua atau tiga kejadianpun tidak dapat diselesaikan, apa akan jadi jika lebih dari 10 kejadian berlaku?

Adun dan Ahli Parlimen wajar memikirkan bagaimana 25 orang daripada tiga keluarga ini tinggal di sebuah surau kecil yang tidak mempunyai kemudahan asas dan menanti terus menanti janji yang tidak kunjung tiba?

Kesesakan surau tersebut menyebabkan ahCuba kita fikirkan sejenak 3 keluarga ini lebih dai keluarga mangsa terpaksa memperbaiki balairaya usang yang dibina di zaman pemerintahan USNO dan Berjaya yang sudah melebihi 35 tahun sebagai tempat berteduh.

Semua yang berlaku terhadap keluarga ini juga telah dimaklumkan oleh pihak perhubungan dengan mengharap bantuan segera dapat disalurkan namun tidak sepantas Adun dan Ahli Parlimen UMNO di Pantai Timur.

Di Semporna misalnya, jika ada kebakaran atau bencana alam, dengan serta merta Adun dan Ahli Parlimen turun dan terus memberikan sumbangan kilat dalam bentuk wang tunai untuk meringankan beban dan diluluskan serta merta bantuan Rumah PPRT yang dimulakan pembinaannya seminggu selepas kejadian berlaku.

Tahniah kepada pemimpin kawasan Semporna, namun keluarga mangsa di Kiulu ini sudah memasuki 100 hari, namun belum nampak sebarang tanda pemberian bantuan rumah PPRT, mahupun daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Tuaran.

Keluarga mangsa bertanya, di manakah laungan kerajaan BN yang mengutamakan rakyat dahulu? Di manakah peruntukan PPRT Adun dan Parlimen mahupun Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am?

Mereka hampa dan kecewa kerana seolah-olah tidak dipedulikan apatah lagi keadaan kedua orang tua yang sudah berumur antara 78 hingga 80 kerana mereka sukar bergerak kerana tidak mempunyai bilik air yang sesuai dan terpaksalah turun dan naik tangga amat berbahaya terutamanya pada waktu malam.

Keluarga mangsa turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk kampung dan NGO yang menghulurkan bantuan kepada mereka selama ini. -SK
Dikuasakan oleh Blogger.