Kereta Toyota memecut dengan sendiri walaupun telah dibaiki
WASHINGTON: Pemerintah Amerika Syarikat berkata ia telah menerima lebih 60 aduan daripada pemandu kereta Toyota bahawa kenderaan mereka memecut dengan sendiri walaupun telah diperbaiki.Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) berkata ia sedang menghubungi setiap pemandu bagi menyelidik lebih lanjut aduan itu.
'Kami bertekad untuk menyiasat sepenuhnya perkara ini,' kata NHTSA dalam satu kenyataannya.
Toyota telah menarik balik lebih lapan juta kenderaan di serata dunia dengan 6.5 juta daripadanya di Amerika, untuk diperbaiki ekoran masalah pedal minyak, brek dan masalah stereng.
Sebelum ini, NHTSA telah mengaitkan 52 kematian ekoran kemalangan yang berlaku apabila kereta Toyota memecut dengan tiba-tiba.
Sementara itu, di Tokyo, Jepun, Presiden Toyota, Encik Akio Toyoda, semalam menggesa ribuan pekerjanya membuka lembaran baru dan berusaha memenangi semula kepercayaan para pelanggan.
'Mari kita maju dengan semangat yang tinggi, rasa seronok dan yakin tetapi pada masa yang sama kekal rendah hati,' kata Encik Toyoda dengan nada sebak kepada sekitar 2,000 kakitangan di ibu pejabat Toyota di Tokyo.
Ucapannya turut didengar oleh sekitar 7,000 pekerja di kilang-kilang Toyota di serata lokasi lain melalui lintasan video.
Encik Toyoda telah kembali ke Jepun pada awal minggu ini setelah disoal siasat oleh penggubal dasar Amerika dalam sidang Kongres di Washington mengenai penarikan balik kereta Toyota daripada pasaran.
Semalam, para pekerja Toyota ternyata terharu apabila mendengar ucapan Encik Toyoda.
Seorang jurutera syarikat itu, Encik Hideki Watanabe, 51 tahun, berkata:
'Saya dapat rasakan kesedihan Presiden dan saya berpendapat kami semua harus bekerja lebih keras. Hati saya hancur apabila memikirkan kereta-kereta yang sepatutnya memberi keceriaan kepada orang ramai, boleh menyebabkan kesedihan dan kemalangan.' - AP
Post a Comment