Header Ads

Harimau Malaya sudah bersedia bertemu Hong Kong malam ini

Lupakan sejenak pesta menjulang Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini.

Kini, pasukan kebangsaan kendalian K Rajagobal menggalas misi baru dengan bertemu Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Rajagobal menyatakan barisan pemain kebangsaan tujuh tahun lalu tidak berada dalam kondisi yang kukuh, namun kali ini tampil lebih garang dan benar-benar bersedia mengharungi setiap perlawanan yang dilalui.

“Sejak tujuh tahun lalu, barisan pemain kita kurang bersedia dari segi fizikal dan mental, namun saya yakin pasukan bola sepak kita kali ini cukup bersedia.

“Tetapi, kami harus berwaspada dengan skuad Hong Kong kerana mereka dibarisi pemain yang cukup berpengalaman serta sebuah pasukan yang kuat,” katanya.

Rajagobal juga enggan menjadikan alasan kecederaan beberapa pemainnya sebelum ini sebagai punca tidak menyajikan persembahan bertenaga pada perlawanan bertemu Hong Kong.

“Kita janganlah terlalu risau dengan masalah kecederaan yang melanda beberapa pemain utama skuad bola sepak kebangsaan sebelum ini.

“Kita masih memiliki ramai pemain berkaliber yang belum diuji sepenuhnya dan itu peluang terbaik untuk mereka menyajikan aksi mantap demi skuad negara,” katanya.

Beberapa pemain negara yang tidak menyertai kejohanan Piala AFF Suzuki 2010 lalu seperti Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Ahmad Fakri Saarani, G Mahathevan dan S Chanturu tersenarai dalam pertemuan menarik di Stadium Shah Alam, malam ini. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.