Peringkat ketujuh LTdL 2011: Anuar gagal pertahan jersi biru
Pelumba profesional, Anuar Manan gagal mempertahankan jersi biru yang dimenanginya kelmarin selepas menamatkan saingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 Sabtu di tempat ke-24.Beliau yang hanya mampu melihat jersi itu kembali disarung pesaing terdekatnya Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Neri Sitolli, mengakui kayuhannya semalam tidak begitu baik.
"Hari ini saya agak penat dan nak pecut dalam ketiga-tiga zon pecutan. Saya juga banyak membuang tenaga kerana sepanjang laluan pendakian saya berkayuh agak perlahan.
"Mungkin ini disebabkan semalam (kelmarin, peringkat keenam dari Rawang ke Putrajaya) saya telah mengeluarkan banyak tenaga," kata Anuar yang menggalas cabaran pasukan Terengganu Pro Asia Cycling (TSG).
Pada perlumbaan dari Banting ke Tampin sejauh 149.5 km semalam, Anuar juga gagal mengutip sebarang mata dalam tiga zon pecutan di Sungai Pelek, Port Dickson dan Chembong.
Keputusan ini juga menyaksikan beliau ketinggalan 14 mata di belakang Guardini yang selesa dengan 84 mata.
Guardini sekali lagi tampil dengan kayuhan bertenaga dengan mengutip 15 mata selepas muncul juara pada perlumbaan itu.
Anuar berkata beliau sudah dapat menghidu strategi Guardini sejak awal perlumbaan lagi, namun gagal untuk menyaingi kehebatan pelumba muda kelahiran Itali itu. -Bernama
Post a Comment