Header Ads

Transnasional: Tiket balik ke kampung ketika raya masih banyak dijual

Tiket untuk orang ramai balik ke kampung pada Aidilfitri ini dengan menggunakan pengangkutan awam masih banyak dijual.

Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB) Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata orang ramai tidak perlu khuatir kehabisan tiket kerana KTB akan menjual kira-kira 40,000 tiket sehari untuk musim perayaan ini.

“Daripada 24,000 tiket yang dijual setiap hari, kami akan menambah 16,000 tiket setiap hari seminggu sebelum hari raya untuk semua destinasi.

“Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak dan tiket-tiket boleh didapati di semua kaunter Transnasional, Plusliner dan Nice serta rangkaian stesen Petronas terpilih,” katanya.

Tiket juga boleh dibeli secara online melalui laman web www.ticket4u.com.my.

Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Fazil Ismail berkata tiket untuk perjalanan ke utara, selatan dan tengah masih lagi dijual.


Bagaimanapun katanya, tiket perjalanan mulai 1 hingga 16 September bagi sector pantai timur telah habis dijual begitu juga ke Padang Besar, tiket untuk perjalanan dari 2 hingga 9 September turut habis dijual.

Sebanyak 74,260 keping tiket bagi perjalanan dari 1 September hingga 18 September untuk semua sektor telah dijual bermula 28 Julai lepas, katanya kepada Bernama.

“KTMB sedang mempertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan tren tambahan bagi destinasi yang tiketnya telah habis dijual, berdasarkan kemampuan tren sedia ada dan permintaan pengguna,” kata Mohd Fazil.

Bagi pengguna yang menaiki sistem keretapi elektronik (ETS) bagi laluan KL-Ipoh pula, mereka bakal menikmati harga tiket promosi RM30 sehala.

“Harga promosi ini akan dinikmati pengguna selama enam bulan bermula Khamis ini,” katanya.

Pengendali penerbangan kos rendah negara, AirAsia tidak ketinggalan untuk memberikan harga tiket menarik kepada pengguna menerusi kempen Mind Blowing Fare yang bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tony Fernandes berkata dengan tawaran tersebut penumpang hanya perlu membayar RM1 sehala bagi destinasi domestic seperti Alor Setar, Johor Baharu, Kota Baharu, Langkawi dan Pulau Pinang.

Ini termasuk destinasi antarabangsa seperti Krabi, Phuket, Singapura, Siem Reap, Phnom Penh, Yogyakarta, Bandung, Brunei, Hatyai dan Ho Chi Minh City.

“Kami gembira dapat menawarkan peluang yang perlu direbut oleh para penumpang untuk tawaran hebat di bawah kempen Mind Blowing Fair ini. Kempen ini sememangnya sangat menarik untuk musim percutian dan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Katanya tawaran tersebut adalah sah untuk perjalanan dari 1 April hingga 11 Ogos 2011 dan tempahan tiket masih dibuka sehingga 15 Ogos ini. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.