Tevez tetap taruhan Manchester City
LONDON: Roberto Mancini telah berbelanja besar untuk mendapatkan pemain baru bagi menghadapi cabaran musim baru tetapi Carlos Tevez akan memikul tanggungjawab pengurus Manchester City itu apabila kelab terkaya dunia itu berusaha menukar wang kepada kejayaan.Mancini bercita-cita hendak bersaing bagi mahkota Liga Perdana musim ini, dan lantas beliau telah mengumpulkan ramai pemain berbakat.
Pemain paling berkaliber yang diperolehinya ialah pemain sayap Sepanyol, David Silva, yang tiba dari Valencia dengan harga £24 juta ($51.6 juta).
Mancini juga membeli pemain pertahanan Jerman, Jerome Boateng; pemain bek kiri Serbia, Alexander Kolarov; dan pemain midfield Barcelona, Yaya Toure.
Namun, meski terdapat pilihan yang begitu ramai di City, Tevez kekal sebagai pemain paling berharga dan merupakan satu-satunya pemain yang mampu mencorakkan nasib City bagi mencapai kejayaan di dalam dan luar negara.
Tidak ramai pemain yang terus mekar selepas mereka meninggalkan Manchester United, tetapi sejauh ini, Tevez telah membuktikan beliau boleh berjaya selepas meninggalkan Old Trafford dalam keadaan yang agak kontroversial tahun lalu.
Penyerang Argentina itu menjaringkan 23 gol dalam 35 penampilan untuk City dan beliau memang wajar memenangi banyak anugerah pada akhir musim di City.
Tetapi Mancini tentu mahukan lebih banyak lagi daripada pasukannya musim ini dan sedar bahawa Tevez sekurang-kurangnya perlu mengulangi pencapaiannya musim lalu jika City mahu mempersembah kepada pemilik kelab itu yang kaya raya dengan trofi yang mereka idamkan.
Bagaimanapun, meski form Tevez menyerlah musim lalu, hubungannya dengan Mancini ada kalanya agak tegang.
Tevez bersuara membantah sesi latihan dua kali sehari yang dilakukan Mancini dan mengambil risiko mencetuskan kemarahan bosnya apabila pulang lewat selepas kembali untuk bersama keluarganya di Argentina.
Beliau juga dikaitkan dengan beberapa kelab terkemuka Eropah selepas menunjukkan persembahan yang agak baik dalam Piala Dunia.
Tevez pula akur bahawa beliau sedang terkial-kial untuk memulihkan semangatnya menyusuli kekecewaan yang dialami Argentina apabila dimalukan Jerman di suku akhir Piala Dunia.
Terdapat juga kekhuatiran bahawa beliau mungkin tidak akan beraksi untuk City dalam latihan sebelum musim.
Bagaimanapun, beliau kembali ke City dan Tevez kini kelihatan berpuas hati bahawa Mancini adalah pengurus yang akan terus mendapatkan yang terbaik daripadanya.
Tevez, 26 tahun berkata, "Saya benar-benar suka agar beliau (Mancini) meneruskan tugasnya di sini. Saya ingin kami semua kekal dan meneruskan projeknya yang bercita-cita tinggi yang telah kami mulakan. Beliau telah membantu saya menemui semula keyakinan saya." -AFP
Post a Comment