Penipuan maklumat kewangan pelanggan LHDN didalangi sindiket antarabangsa
Maklumat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah dipalsukan oleh sindiket antarabangsa menerusi laman internet dengan menipu kewangan pelanggan LHDN.Ketua Pengarah Tan Sri Hasmah Abdullah berkata, beberapa rangkaian sindiket antarabangsa memikat mangsa dengan habuan jutaan ringgit melalui e-mel selepas memberi maklumat akaun perbankan internet masing-masing.
Menurutnya, pada 21 Julai lalu hingga 17 Ogos 2010, pihak LHDN menerima aduan orang ramai berkaitan penipuan email dari laman 'taxrefunds@hasil.gov.my' berkaitan lebihan cukai sebanyak RM700 dan RM2,812.49 akan dikembalikan kepada pelanggan LHDN.
"Pulangan wang melalui email itu adalah satu bentuk penipuan dan ianya juga tidak pernah dihantar oleh pihak LHDN kepada pelanggan.
"Email tersebut dihantar oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan ke atas urusan bayaran balik lebihan cukai kepada pelanggan LHDN dengan menggunakan nama LHDN," katanya.
Beliau berkata, sehingga hari ini sebanyak 217 kes telah dilaporkan kepada LHDN terhadap penipuan melalui internet yang melibatkan pembayar cukai berdaftar dan juga orang awam yang tidak berdaftar dengan LHDN.
Jumlah kerugian belum pasti
"Jumlah kerugian mangsa sindiket palsu LHDN masih belum dipastikan kerana sehingga ke hari ini kita masih menerima aduan yang melibatkan pelanggan LHDN.
"Setelah disiasat didapati rangkaian jenayah siber ini berpengkalan di Amerika Syarikat dan Nigeria.
"Modus operandi penjenayah siber ini adalah pelanggan akan diminta ke laman web palsu LHDN untuk memuatkan maklumat akaun peribadi melalui akuan CIMB dan Public Bank.
"Jika arahan diikuti, pelanggan tanpa disedari akan mendedahkan maklumat kewangan dan seterusnya penjenayah siber ini akan menggunakan maklumat tersebut untuk mengeluarkan wang simpanan pelanggan," ujarnya.
Katanya, pelanggan LHDN yang mendapat e-mel sedemikian perlu segera menghubungi LHDN dan juga pihak polis untuk memastikan penipuan ini dapat dibenteras.
"Pada 17 Ogos lalu, LHDN telah membuat laporan polis berkaitan penipuan ini untuk meminta kerjasama pihak polis mengesan jenayah siber ini.
"LHDN berharap agar pelanggan dan orang ramai peka terhadap pendedahan ini supaya tidak akan ada lagi mangsa penipuan," jelasnya.
Hasmah bagaimanapun memberi jaminan bahawa segala transaksi elektronik melalui laman web rasmi LHDN serta setiap data dan maklumat pembayar cukai yang ada dalam simpanan LHDN adalah selamat. -FMT
Post a Comment