Minum arak: Mahkamah tetap 22 November perbicaraan semula kes
KUANTAN: Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan semalam menetapkan 22 November sebagai tarikh perbicaraan semula kes Mohd Saifulnizam Zulkifli, 29, yang dituduh meminum arak pada Februari lalu.Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Datuk Abdul Rahman Yunus menetapkan tarikh tersebut selepas tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan semula.
Sebelum ini, Abdul Rahman membuat keputusan itu untuk memberi peluang kepada tertuduh menarik semula pengakuan bersalahnya atas alasan kes itu berat selain melantik peguam dan membuat rayuan.
Mohd Saifulnizam dituduh meminum minuman memabukkan di sebuah kelab malam dekat Jalan Tun Ismail ketika pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) mengadakan Ops Sayang pada 7 Februari lalu.
Tertuduh yang berasal dari Sungai Isap hadir bersama peguam Mohd Zuki Che Mat Ghani.
Seorang lagi tertuduh, Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, mengekalkan pengakuan bersalahnya atas dakwaan melakukan kesalahan yang sama Februari lalu.
Dalam pada itu, seorang lagi tertuduh, Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, mengekalkan pengakuan bersalahnya atas dakwaan melakukan kesalahan sama Februari lalu.
Tertuduh yang tidak bekerja dituduh minum minuman memabukkan di tempat letak kenderaan bahagian bumbung pusat beli-belah Kuantan Parade dalam operasi yang sama pada 13 Februari lalu.
Abdul Rahman kemudian menetapkan 30 September ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982. J
Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 4 enakmen yang sama memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5,000, penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali serta enam sebatan.
Pendakwa Syarie, Azwa Hanim Kamarulzaman mengendalikan kedua-dua kes tersebut. -SH
Post a Comment