Header Ads

Kelakuan memalukan tentera wanita Israel undang kemarahan

BAITULMAQDIS: Gambar-gambar seorang askar wanita Israel yang bergaya di depan para tahanan Palestin yang bergari dan ditutup mata dan disiarkan dalam laman sosial Facebook telah mencetuskan kemarahan di Israel.

(CETUS KEMARAHAN: Gambar yang menunjukkan tentera wanita Israel bergaya di depan barisan tahanan lelaki yang dikenal pasti oleh media dan blog Israel sebagai tahanan Palestin telah menimbulkan kemarahan. -Foto AP)


Sebuah stesen televisyen awam Israel telah menyiarkan gambar-gambar itu dan pihak tentera Israel terpaksa mengeluarkan satu kenyataan mengutuk 'kelakuan memalukan' wanita berkenaan, Eden Abergil, yang dikatakan telah diberhentikan khidmatnya daripada pasukan tentera setahun lalu, lapor agensi berita AFP, semalam.


Abergil menyiarkan gambar-gambar itu di laman Facebooknya, yang menunjukkan dia sedang tersenyum serta bergaya di hadapan tiga tahanan Palestin yang sedang ditutup matanya dan tangan yang bergari, dengan satu kapsyen gambar, 'Tentera, waktu terindah dalam hidupku.'

"Ini mencerminkan satu sikap yang sudah menjadi norma dan membabitkan layanan tahanan Palestin seperti benda, bukannya seperti manusia," kata ketua Jawatankuasa Awam Israel Menentang Penderaan, Yishai Menuchim, dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu juga dipetik oleh akhbar The New York Times (NYT) sebagai berkata, kelakuan menghina itu di kalangan askar-askar lazimnya dilihat di pusat-pusat pemeriksaan Tebing Barat dan pusat-pusat tahanan.

Kenyataan pihak tentera Israel menyatakan, "Ia satu kelakuan memalukan oleh askar itu. Memandangkan dia telah diberhentikan tahun lalu, semua butir telah diserahkan kepada pihak komandernya untuk tindakan lanjut."

Namun seorang jurucakap tentera memberitahu AFP, oleh kerana Abergil telah diberhentikan, tindakan undang-undang terhadapnya belum jelas.
Dikuasakan oleh Blogger.