Belum kahwin tapi dikatakan minta cerai taklik
KAMPUNG BARU KANAN: Seorang anak yatim piatu, Suhaila Abdul Yarus, 32, mengharapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) membuat semakan semula terhadap statusnya yang dikatakan sedang meminta cerai taklik kepada suaminya, walhal dia masih belum berkahwin di Kampung Baru Kanan, Kemasek.Suhaila mendakwa, akibat kesilapan yang dilakukan adik tirinya, Nurul Huda Darus, 22, yang menggunakan kad pengenalannya untuk berkahwin menyebabkan dia menanggung kesengsaraan setelah Nurul Huda memohon cerai taklik daripada suaminya setelah beberapa tahun berkahwin.
Menurutnya, adik tirinya berkahwin di negara seberang menyebabkan perkahwinannya tidak didaftarkan di negara ini dan kesulitan mulai timbul apabila adik tirinya hendak bercerai dengan suaminya.
“Apa yang saya tahu, kad pengenalan saya hilang setelah Nurul Huda datang bertemu saya untuk meminta pertolongan, ketika tidur sebilik dengannya, Nurul Huda dipercayai mencuri kad pengenalan saya dan terus menghilangkan diri hingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ibu bapanya telah lama meninggal dunia dan dia mempunyai 10 adik beradik tiri lain yang tinggal di merata tempat.
“Masalah saya timbul apabila hendak berkahwin dengan bakal suami, Kaharuddin Jusoh, 34, apabila JHEAT menyatakan status saya yang memohon cerai taklik. Puas saya menyatakan hal sebenar, namun tidak dilayan,” katanya.
Dia bimbang kerana masih belum berkahwin dengan Kaharuddin yang merupakan duda beranak dua kerana mereka tinggal serumah dengan ditemani ibu Kaharuddin.
“Saya tidak mahu menimbulkan tanggapan serong mastelah menumpangkan saya di rumahnya setelah saya tidak lagi tinggal bersama ibu angkat di Jengka, Pahang,” katanya.
Menurutnya, dia kini tidak lagi bekerja setelah tangannya patah akibat kemalangan hampir 10 tahun lalu dan hanya kepada keluarga bakal suami, tempatnya bergantung harapan.
“Kasihanilah saya yang kini tinggal sebatang kara. Saya hanya mempunyai seorang adik kandung yang bakal menjadi wali pada majlis perkahwinan nanti,” katanya.
Sementara itu, Kaharuddin berkata, majlis perkahwinannya terpaksa ditangguhkan sejak enam bulan lalu apabila masalah itu masih tidak dapat diselesaikan.
“Saya memang ingin berkahwin dengannya memandangkan saya perlukan seorang isteri dan ibu untuk menjaga dua anak saya yang masih kecil, dan ibu saya pula merestui perkahwinan ini,” katanya. -SH
Post a Comment