Header Ads

250,000 umat Islam berbuka puasa di Masjid Madinah setiap hari

MADINAH: Lebih 250,000 umat Islam berbuka puasa di Masjid Nabawi di sini setiap hari.

Khemah yang dipasang di luar pekarangan masjid berkenaan membantu mengurangkan suhu panas. Ia membolehkan orang ramai berbuka puasa di pekarangan kawasan berkenaan. Khemah itu amat berguna kerana peningkatan suhu di Madinah ketika ini.

Rata-rata pengunjung berpuas hati menziarah makam Rasulullah saw dan bersolat di masjid Baginda.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Raja Abdullah kerana keprihatinannya dan perkhidmatan cemerlang yang kami nikmati sejak menjejakkan kaki di negara ini," kata Amin Al-Saddiq, jemaah dari Sudan ketika diwawancara oleh akhbar Arab News.


Beliau memuji pembangunan kemudahan asas di sekitar Madinah dan berkata, khemah baru di pekarangan masjid berkenaan bukan setakat melindungi pengunjung daripada cuaca panas malah juga hujan.

Zain Al-Abdeen dari Bangladesh berkata beliau sentiasa mengimpikan mengunjungi Makkah dan Madinah.

"Saya sudah sekian lama menyimpan wang untuk perjalanan ini. Saya bergembira dapat menunaikan umrah dan bersolat di Masjid Nabawi ketika Ramadan," katanya.

Zain berkata, beliau tidak dapat menahan air mata apabila melihat Kaabah buat julung kalinya dan melakukan tawaf pertamanya.

"Impian melakukan tawaf sekeliling Kaabah dan minum air zamzam dapat saya tunaikan," katanya.

Secara tradisinya, penduduk Madinah membawa juadah buka puasa ke Masjid Nabawi selepas solat asar untuk mengagihkannya kepada pengunjung. Sebahagian mereka meletakkan makanan itu di pekarangan masjid sementara ada yang membawanya masuk. Juadah itu biasanya adalah kurma, jus, susu, dadih, air dan buah-buahan.

Pengunjung biasanya berbuka bersama-sama, duduk bersebelahan satu sama lain tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kewarganegaraan. -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.