Header Ads

Wang hasil titik peluh isteri dikebas suami untuk langgan pelacur

KULAIJAYA: Jika si isteri bertungkus lumus mencari rezeki, lain pula ceritanya dengan sikap si suami apabila dia sanggup menggunakan wang perniagaan isterinya semata-mata mahu melampiaskan nafsu dengan melanggan pelacur

Wanita malang itu yang hanya dikenali sebagai Nashida berkata, dia menaruh sepenuh kepercayaan terhadap suami, tidak percaya akan dikhianati buat kali kedua setelah suaminya itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Nashida yang pada mulanya tidak menaruh sebarang syak-wasangka mula meragui perubahan sikap lelaki itu apabila mendapati wang simpanan hasil perniagaan kecil-kecilan yang dijalankannya selama ini mulai merosot.


“Saya tanya pada suami sama ada dia ada ambil wang berkenaan tetapi dia tidak mengaku, namun berkat doa saya, akhirnya suami mengaku.

“Luluh hati saya apabila suami memberitahu wang berkenaan digunakan untuk melanggan pelacur tanpa pengetahuan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Nashida mendakwa, suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu pada siang hari agar dia tidak dapat menghidu niat jahatnya untuk melakukan hubungan intim dengan pelacur yang diperkenalkan oleh salah seorang rakan kepada suaminya itu.

“Suami saya beritahu kawan yang tunjukkan dia tempat itu dan hanya untuk suka-suka dan melepaskan tekanan akibat penat bekerja.

“Suami ambil kesempatan melanggan pelacur di situ pada waktu siang selepas menghantar pesanan yang diminta oleh pelanggan perniagaan kami, sebab itulah saya tidak dapat kesan perbuatan terkutuknya itu,” katanya.

Menurutnya, perbuatan suaminya itu mula berlarutan sejak awal tahun lalu dan rahsia suaminya itu terbongkar pada Jun lalu hingga menyebabkan Nashida mula menaruh persepsi negatif terhadap kaum lelaki

“Di hadapan saya, suami memang bersikap baik dan berlagak seperti suami yang penyayang, namun di belakang saya rupa-rupanya dia mengkhianati saya.

“Setakat ini saya masih meneruskan perkahwinan bersama suami sebab saya sayangkan anak, namun setelah dikhianati untuk kali kedua saya tidak akan percaya terhadap suami lagi,” katanya.

Nashida turut meluahkan rasa terkilan berikutan pengorbanannya membantu suami dengan menjalankan perniagaan dan memandu van menghantar pekerja kilang untuk menambah sumber pendapatan keluarga dibalas dengan pengkhianatan.

“Saya memang terlalu kesal, kepada isteri dan wanita di luar sana, jadikan pengalaman saya ini sebagai pengajaran dan jangan menaruh sepenuh kepercayaan terhadap lelaki,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.