Header Ads

Mansuh diskaun: PAS Selangor nasihat jangan gopoh

Pas Selangor menggesa Kerajaan Negeri mengkaji semula cadangan Ahli Parlimen, Tony Pua supaya memansuhkan dasar pemberian diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, cadangan tersebut terlalu gopoh kerana ia memerlukan kajian dan laporan lebih terperinci daripada segi aspek kemampuan golongan Bumiputera untuk bersaing dengan pihak lain.

“Pas Selangor tidak selesa dengan kenyataan Tony Pua dan merasakan cadangan itu terlalu gopoh kerana ia memerlukan kajian dan laporan yang lebih terperinci.


“Selain itu kajian dan laporan yang sama diperlukan untuk membuktikan bahawa keyakinan dan kedatangan pelabur asing akan meningkat hanya jika polisi berkenaan diubah,” katanya pada satu kenyataan media, kelmarin.

Sebelum ini, Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP mencadangkan Kerajaan Negeri memansuhkan dasar pemberian diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Katanya, langkah itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Kerajaan Selangor daripada segi persaingan, termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Menurut Tony, ia mampu memberi kesan positif kepada ekonomi Selangor kerana selain mewujudkan nilai hartanah stabil, ia juga menjadikan pasaran lebih adil.

Roslan Shahir berkata, Pas berasakan sebarang perubahan terhadap dasar melibatkan Bumiputera mestilah dilakukan dengan memperkenalkan sesuatu lebih baik dan menguntungkan golongan berkenaan.

“Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak sepatutnya terlibat dalam memperkenalkan dasar yang menjejaskan bukan hanya kepentingan golongan Bumiputera, malah mana-mana kaum sekalipun di negeri Selangor ini.

“Oleh itu, kita menyarankan mana-mana cadangan seumpama ini sewajarnya dibincangkan dan dibahaskan di peringkat PR Selangor sebelum ia dilontarkan kepada umum,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.