Ferrari menyangkal tuduhan atur keputusan GP Jerman
HOCKENHEIM, Jerman: Pasukan terkemuka Formula Satu, Ferrari, kelmarin terpaksa berhempas pulas menyelamatkan reputasi mereka selepas dituduh menggunakan arahan pasukan untuk membolehkan Fernando Alonso menjuarai Grand Prix Jerman.Ferrari telah didenda AS$100,000 kerana melanggar peraturan selepas Felipe Massa membenarkan rakan sepasukan dan juara dunia sebanyak dua kali, Alonso, memotongnya.
Kejadian itu berlaku 18 pusingan sebelum tamat perlumbaan meskipun Massa telah mendahului para pelumba lain sejak dari awal.
Meskipun FIA, badan penguasa sukan itu, berkata keputusan 1-2 Ferrari akan dikekalkan, pasukan tersebut mesti dihadapkan ke Majlis Sukan Motor Dunia.
Arahan dari pasukan telah diharamkan lapan tahun yang lalu selepas satu insiden di Grand Prix Austria 2002 apabila Ferrari mengarahkan pendahulu perlumbaan, Rubens Barrichello, ke tepi untuk membolehkan Michael Shcumacher memotongnya dan memenangi perlumbaan.
Kelmarin, Massa telah diarahkan oleh jurutera perlumbaan Ferrari, Rob Smedley, supaya membenarkan Alonso memotong beliau memandangkan pemandu Sepanyol tersebut lebih pantas.
“OK, Fernando lebih laju daripada anda,” kata Smedley.
“Bolehkah anda mengesahkan anda memahami pesanan ini?”
Ekoran tindakan itu, suara Smedley sekali lagi kedengaran di radio, meminta maaf daripada Massa.
“Budak baik... sekarang ikut sahaja, maaf,” katanya.
Bos Ferrari, Stefano Domenicali, bagaimanapun, menegaskan tiada arahan daripada pasukan dan ia adalah keputusan Massa sendiri untuk membolehkan Alonso memotongnya.
“Kami menyampaikan maklumat kepada pemandu dan ia adalah keputusannya bagaimana hendak bertindak,” katanya.
Domenicali menambah bahawa permohanan maaf Smedley adalah akibat hakikat kereta Massa tidak sepantas kereta Alonso.
“Anda perlu menimbangkan hakikat bahawa beliau memberi maklumat kepada Felipe untuk membantunya, dan meminta maaf kerana keretanya tidak laju.”
Massa, yang jelas kelihatan tidak gembira, mendakwa ia adalah keputusannya sendiri.
“Saya tidak begitu pantas dengan tayar yang keras dan Fernando lebih pantas,” katanya.
“Ia adalah keputusan saya. Saya buat keputusan itu kerana Fernando lebih pantas dari saya.”
Alonso pula berkata tiada arahan dari pasukan tetapi akur bahawa beliau terkejut apabila Massa memperlahankan keretanya dan beliau mendakwa beliau fikir ia mungkin kerana masalah gear.
Bagaimanapun, saingan Ferrari tidak yakin dengan penjelasan itu. -AFP
Post a Comment