Header Ads

Penyerang Arsenal, Arshavin tidak yakin boleh kejar juara liga

LONDON: Sedang Arsenal mula menaruh keyakinan dapat menjuarai Liga Perdana England, tiba-tiba Andrey Arshavin menggugat keyakinan itu.

Arshavin adalah penyerang Arsenal yang sering merayakan jaringan dengan meletakkan jarinya di bibir - sebagai memberi isyarat kepada orang ramai supaya senyap.

Para pemain dan kakitangan di Stadium Emirates mungkin kurang senang apabila membaca laporan ini tetapi bintang Russia itu sekadar melahirkan pandangan peluang pasukannya itu.

Arsenal bertarung bagi mengatasi nasib malang dan masalah kecederaan untuk berada hanya dua mata di belakang pendahulu liga, Manchester United.

Persaingan merebut kejuaraan ini dijangka berterusan sehingga perlawanan terakhir musim ini.

Arsenal juga ghairah menantika pertemuan dengan Barcelona di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Arshavin, 28 tahun, kelihatan tidak begitu yakin akan kemampuan pasukannya bagi menghadapi cabaran.

Beliau menegaskan bahawa pasukannya menerima padah kerana tidak mendapatkan pemain baru secukupnya pada musim panas lalu.

Thomas Vermaelen merupakan satu-satunya pendatang baru menjelang musim ini dengan bayaran pemindahan £pounds;10 juta ($21 juta) daripada Ajax Amsterdam, sedang Sol Campbell didapatkan percuma Januari lalu.

Sungguhpun dengan deretan pemain yang cedera, termasuk Robin van Persie, William Gallas, Aaron Ramsey dan Kieran Gibbs, Arsenal masih mampu menduduki tangga kedua.

Arshavin berkata, "Saya masih berpendapat untuk memenangi trofi, Arsenal perlukan lebih ramai pemain.

"Faktornya adalah mudah. Pada musim panas lalu, kami menjual dua pemain dan membeli hanya seorang pemain. Itu merupakan defisit yang jelas.

"Kami kemudian kehilangan Van Persie, Gibbs dan Ramsey untuk jangka panjang. Jadi, tentu sekali kami memerlukan pemain-pemain baru.

"Tanpa ramai pemain, kami tidak dapat mempelbagaikan serangan. Ia memudahkan pasukan-pasukan lawan membaca kombinasi kami. Akibatnya, kami kurang menguasai bola dan barisan pertahanan menghadapi tekanan yang lebih.

"Liga Perdana sungguh menarik sekali. Kami terus bersaing untuk menang. Tetapi tanpa pemain-pemain baru yang berpengalaman, bintang-bintang sebenar, sukar bagi kami mengecap kejayaan.

"Yang terbaiknya, kami memerlukan tiga atau empat pemain berpengalaman. Di kalangan pemain belia pula mereka yang mempunyai perwatakan gagah dan mampu bersaing di peringkat tinggi."

Arshavin, yang dipindahkan dari Zenit St Petersburg setahun lalu, akui beliau masih belum mencapai tahap permainan terbaiknya sebagai pemain dari luar seperti Cesc Fabregas, Fernando Torres atau Didier Drogba.

Bagaimanapun, Arshavin menegaskan: 'Saya belum dapat bermain dengan mantap. Ada masanya saya mampu menunjukkan persembahan yang baik dan menjadi inspirasi, tetapi ada masanya gagal melakukannya.

"Saya perlu dapat bermain dengan lebih konsisten seperti mereka," tambah Arshavin. -TheSun

WarkahDaily - Kempunanlah peminat Arsenal jika musim ini pasukan itu tiada kesempatan untuk menduduki tahta liga. Mungkin Arshavin ingin memotivasi rakan-rakan dan dirinya supaya tidak terlalu yakin untuk menggapai juara liga itu. Musim ini, perebutan tahta liga dilihat lebih terbuka dan sengit untuk beberapa pasukan antaranya Chelsea, Man Utd dan Arsenal.
Dikuasakan oleh Blogger.