Pasukan 'budak sekolah' negara dibelasah Indonesia 5-1
WarkahDaily - Tak tahu macamana nak gambarkan permainan anak buah Rajagopal dalam saingan Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak Asian (AFF) 2010 di Jakarta, Indonesia malam tadi sehingga pasukan negara teruk dibelasah pasukan Indonesia 5-1.Setiap penjuru pasukan negara longlai seperti tak terlawan dengan pasukan lawan seolah-olah pasukan 'budak sekolah' Malaysia sedang berhadapan pasukan negara Indonesia.
Posisi pertahanan yang amat teruk di samping kawalan bola semua pemain menampak seolah-olah bukan pemain bola yang baik. Usah mimpilah kalau bercita-cita nak bermain dalam saingan lebih tinggi seperti Piala Dunia.
Jika dilihat kepada corak permainan pasukan negara malam tadi, amatlah rugi segala pelaburan pelbagai pihak dalam menjayakan kancah bola sepak negara. Patutlah pihak swasta tidak berani membuat pelaburan dalam arena bola sepak negara kita berbanding di luar negara. Bagi mereka, buat apa membuat pelaburan yang sia-sia.
Bagi aku, corak permainan pemain muda dalam kancah Sukan Sea yang lepas lebih bagus daripada pemain-pemain yang dianggap berpengalaman (senior) yang dilihat agak lembik dan longlai apabila berhadapan pemain Indonesia.
Apa korang nak kata, terpulang tapi bagi aku, pasukan negara kali ini amat teruk...
Bernama - Skuad bola sepak negara memulakan kempen Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak Asian (AFF) 2010 di Jakarta, Indonesia dengan langkah kiri apabila gagal menyekat barisan penyerang pasukan Indonesia dalam saingan kumpulan A dengan kecundang 5-1 di Stadium Gelora Bung Karno malam ini.
Beraksi di hadapan peminat tuan rumah, Malaysia terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi hantaran lintang daripada Mohd Safee Mohd Sali dalam kotak 'D' ke penerima Anugerah Pemain Berharga 100Plus-FAM 2010 baru-baru ini, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-17.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan Indonesia menggandakan asakan bertali arus ke gawang Malaysia yang dijaga oleh Mohd Sharbinee Allawee Ramli hingga bocor pada minit ke-21 apabila terkena lutut Mohd Asraruddin Putra Omar ke dalam pintu gol sendiri.
Indonesia terus mengasak pintu gol negara dan memperoleh gol kedua menerusi jaringan Cristian Gonzales pada minit ke-32 akibat kelonggaran barisan pertahanan negara.
Selepas rehat, kedua-dua pasukan negara bermain dengan corak permainan yang lebih agresif namun Indonesia lebih bertuah dengan kehadiran gol ketiga pada minit ke-51 oleh Muhammad Ridwan yang juga disebabkan oleh kealpaan pertahanan negara.
Pertahanan negara sekali lagi dihukum apabila Arif Suyono menjaringkan gol pada minit ke-75. Malaysia yang kelihatan tertekan dengan kedudukan 4-1 melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol lawan namun gagal untuk membolosi kubu Indonesia.
Indonesia terus melebarkan jurang dan menjaringkan gol kelima pada masa kecederaan oleh Irfan Haarys Bachdim sebelum wisel penamat ditiup.
Saingan seterusnya, Malaysia dijadual bertemu Thailand pada Sabtu ini dan Laos Rabu ini.
Saingan pertama dalam kumpulan A tadi, naib juara edisi lepas, Thailand sekadar terikat seri 2-2 dengan Laos di stadium yang sama.
Post a Comment