Haiti Bergegar lagi
PORT-AU-PRINCE: Satu lagi gegaran susulan terkuat melanda Haiti awal semalam menyebabkan bangunan rosak turut bergoyang dan mencetuskan suasana panik apabila penduduk melolong sambil lari ke tempat terbuka, lapan hari selepas ibu negara musnah akibat gempa bumi 7 skala Richter.Gegaran 6.1 skala Richter itu adalah yang terkuat daripada 40 gegaran susulan sejak gempa melanda, 12 Januari lalu. Sejauh mana kesannya belum diketahui.
Penduduk terselamat daripada gempa bumi menjerit ketakutan selepas merasai gegaran pada 6.03 pagi waktu tempatan.
Ia menyebabkan askar Amerika Syarikat dan penghuni khemah sementara berlari ke tempat terbuka sambil menyaksikan debu putih naik ke udara.
Kajian Geologi Amerika melaporkan, gegaran susulan itu berpusat 60 kilometer ke barat daya Port-au-Prince dan 9.9 kilometer dalam, lebih dalam sedikit berbanding ketika gempa melanda dua minggu lalu.
“Keadaan pada masa itu terasa seperti anda meluncur di atas bola,” kata Sarjan Steven Payne, 27, yang pada masa itu bersedia mengagihkan makanan di sebuah kawasan khemah sementara menempatkan 25,000 orang.
Gegaran susulan itu menyebabkan Anold Fleurigene, 28, menarik isteri dan tiga anak mereka menuju ke stesen bas. Rumahnya musnah dalam gempa bumi menyebabkan kematian kakak dan abangnya.
“Saya sudah lihat keadaan di sini dan saya mahu pergi ke tempat lain,” katanya.
Sementara itu, beribu-ribu kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat gempa bumi itu, kata kumpulan bantuan - terlalu ramai sehingga pihak yang menguruskannya pun tidak dapat memberikan angkanya.
Dengan sebegitu banyak bangunan yang musnah dan kekalutan yang semakin menjadi-jadi di ibu negara Haiti itu, tidak mustahil mengapa ramai kanak-kanak kini tinggal keseorangan.
“Ada yang masih lagi mundar-mandir di jalan raya,” kata Elizabeth Rodgers, daripada kumpulan anak yatim antarabangsa yang berpejabat di Britain, SOS Children. “Tidak syak lagi, kebanyakan mereka tinggal di tempat terbuka.”
Sebelum kejadian gempa itu pun, Haiti, salah sebuah negara termiskin dunia, dibanjiri dengan anak yatim, dengan 380,000 kanak-kanak tinggal di rumah anak yatim atau rumah kumpulan bantuan, lapor Tabung Kanak-Kanak antarabangsa dalam laman webnya.
Sesetengah kanak-kanak itu kehilangan ibu bapa mereka dalam bencana sebelum ini, termasuk ribut taufan yang mengorbankan kira-kira 800 orang pada 2008, taufan maut pada 2005 dan 2004, serta banjir besar hampir setiap tahun sejak 2000. - AP
Kelmarin, satu penerbangan membawa 53 anak yatim Haiti mendarat di Pittsburgh, Pennsylvania, selepas dua adik-beradik yang bekerja di sebuah rumah anak yatim Haiti menggunakan Twitter dan Facebook untuk menyebarkan penderitaan mereka.
Sehari sebelumnya, kerajaan Belanda menghantar sepasukan pegawai imigresen ke Haiti untuk cuba mencari dan membawa keluar 100 kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa Belanda.
Sementara itu, ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), John Holmes berkata badan dunia menubuhkan sebuah kumpulan yang bertujuan melindungi kanak-kanak di Haiti - tidak kira anak yatim atau tidak daripada menjadi mangsa penculikan dan salah laku seks. -AP
Sumber: BHarian
Post a Comment