Tonton televisyen pendekkan umur
WASHINGTON: Awas bagi mereka yang suka bersantai depan televisyen. Satu kajian yang disiarkan kelmarin menunjukkan setiap jam yang digunakan untuk menonton televisyen meningkatkan kemungkinan mati pada usia muda sebanyak 11 peratus dan kematian akibat sakit jantung sebanyak 18 peratus.( Kiri: Gambar sekadar hiasan)
Kajian di Australia itu, yang muncul dalam rencana berjudul Circulation: Journal of the American Heart Association, meninjau tabiat kesihatan 8,800 penduduk pada 2000-2006.
Ia mendapati bahawa kebiasaan lepak di sofa menonton televisyen mempunyai kesan negatif ke atas kandungan gula dan lemak dalam darah.
Sama ada seseorang itu gemuk, terlalu gemuk atau langsing, kebiasaan menonton televisyen selama sejam setiap hari meningkatkan sebanyak 11 peratus risiko mati muda, 9 peratus risiko diserang barah, dan 18 peratus risiko kematian akibat serangan jantung, demikian dapatan kajian tersebut.
Orang yang menonton televisyen selama empat jam sehari meningkatkan kadar kematian atas sebarang sebab sebanyak 46 peratus, dan akibat serangan sakit jantung sebanyak 80 peratus.
'Tubuh manusia diciptakan supaya bergerak, bukan duduk buat jangka masa yang panjang,' kata Encik David Dunstan, pengarang utama kajian itu, yang berkhidmat dengan Institut Jantung dan Kencing Manis Baker IDI (BIHDIV) di Victoria, Australia.
'Perubahan teknologi, sosial dan ekonomi bermakna penduduk tidak banyak menggerakkan otot-otot seperti dahulu. Akibatnya, paras tenaga yang digunakan semakin merosot,' kata Encik Dunstan.
'Bagi kebanyakan orang, kegiatan harian mereka hanyalah berpindah daripada kerusi kereta ke kerusi di depan televisyen,' kata beliau.
Purata masa menonton televisyen sehari adalah tiga jam di Britain dan Australia, manakala di Amerika Syarikat ialah empat setengah jam. -AFP
Post a Comment