Header Ads

Safee pilih Persib Bandung untuk kembangkan kariernya

Selepas unggul di Piala Suzuki AFF dengan status penjaring terbanyak, saham Safee Sali terus melonjak.

Safee, 27, dikaitkan beberapa kelab Indonesia dan Vietnam yang menunjukkan minat bagi mendapatkan khidmatnya.

Antara kelab yang menunjukkan kesungguhan, Persib Bandung, Persiba Balikpapan dan Pelita Jaya namun sebuah kelab Vietnam yang sebelum ini berura-ura mengidam sentuhannya menyepi.

Ditanya mengenai peluangnya, penyerang kebangsaan itu mengaku berminat untuk mencuba nasib ke luar negara dan keputusan mengenai masa depannya akan terjawab minggu ini.

Bekas pemain Kuala Lumpur dan Sarawak itu mengakui 70 peratus keinginannya adalah untuk melebarkan sayapnya ke Indonesia sambil menyatakan Persib Bandung yang turut menampilkan penyerang kelahiran Uruguay, Cristian Gonzalez sebagai destinasi pilihannya.

Ini kerana perbincangan mengenai perjanjian itu telah memasuki fasa terakhir.

"Saya harap pemergian saya direstui.

"Saya mahu ambil cabaran ini ini, kalau tak rasa rugi sebab karier seorang pemain bola sepak tak lama.

"Bukan Liga Malaysia ini tak bagus, tapi saya mahu mengambil peluang ini."

Mengulas mengenai sambutan yang bakal diterimanya dari rakyat Indonesia seandainya impiannya termakbul, Safee tiada masalah.

"Ia tidak akan memberi kesan kepada saya kalau jadi saya berpindah.

"Peminat mereka memang fanatik. Saya membuat keputusan ini demi membantu diri sendiri untuk memajukan diri saya sekaligus dapat membantu pasukan kebangsaan kelak," katanya.

Tambahnya lagi, "Saya rasa tiada masalah di sana, saya kenal tempatnya dan pernah pergi."

Safee yang sudah berumah tangga dengan cahaya mata bagaimanapun bergantung kepada keadaan sebelum membawa bersama keluarganya berpindah ke tempat baru kelak. –D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.