Gol tunggal Park Ji-Sung bantu Man Utd benam Arsenal
LONDON: Manchester United berjaya melonjak ke singgah sana Liga Perdana Inggeris selepas berjaya menewaskan Arsenal 1-0 hasil jaringan tunggal pemain tengah Park Ji Sung pada perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi di Old Trafford.(Pemain tengah Manchester United Park Ji-Sung (Kiri) meraikan kejayaannya menjaringkan gol semasa pertemuan dengan Arsenal yang berlangsung di Old Trafford pada 13 Dis 2010. -foto AFP)
Kedua-dua pasukan nyata sama hebat dengan mempamerkan corak permainan pantas dan saling mengatur serangan ke atas kubu lawan masing-masing sepanjang 90 minit permainan.
Namun, anak buah Arsene Wenger tampak kurang kreativiti dan tumpul di bahagian hadapannya apabila seringkali percubaan ke arah pintu gol mudah dipatahkan.
Usaha United akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-41 apabila hantaran silang Nani yang terkena pertahanan Arsenal, Gael Clichy berjaya ditanduk mudah oleh Park untuk memberi kelebihan sebelum tamat separuh masa pertama.
Arsenal cuba menggandakan serangan mereka pada separuh masa kedua namun ia masih tidak memadai apabila penguasaan dan kawalan bola lebih memihak kepada anak buah Ferguson.
Kemasukan trio Robin Van Persie, Cesc Fabregas dan Theo Walcott juga gagal merobek pertahanan United yang dilihat kental dikawal oleh pemain pertahanan sensasi mereka Rio Ferdinand.
United hampir menambah jaringan pada minit ke-74 selepas dihadiahkan sepakan penalti tetapi penyerang sensasi Wayne Rooney gagal menyempurnakannya apabila sepakan kencangnya sekadar melayang tinggi.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat 90 minit permainan yang menyaksikan United berjaya merampas kedudukan takhta liga dengan kelebihan dua mata mengatasi Arsenal yang kini berada di tangga kedua dengan kutipan 32 mata. -D5 Sports
Post a Comment