Header Ads

Vettel juara termuda F1 kebanggaan Jerman

"Ajaib, tangisan, juara dunia," demikian tajuk muka depan akhbar terlaris Jerman, Bild selepas Sebastian Vettel muncul juara dunia termuda dalam sejarah Formula Satu (F1).

(Pemandu Red Bull, Sebastian Vettel (tengah) meraikan kejayaan memenangi kejuaraan pemandu Formula Satu musim 2010 bersama-sama dengan Lewis Hamilton dan Jenson Button dari pasukan McLaren di Abu Dhabi pada 14 November 2010. -foto AFP)

Setiap akhbar di negara itu memaparkan Vettel, 23, di muka depan sambil membandingkannya dengan juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher.

Bermacam-macam tajuk menghiasi ruang dada setiap akhbar dengan menjulang pemandu Red Bulls tersebut yang mengatasi saingan sengit daripada Fernando Alonso antaranya "Selepas Schumi, Jerman mempunyai hero F1, Vettel juara sebenar dan kebanggaan Jerman dan bermacam lagi."

Terdahulu, pemandu pasukan Red Bull itu telah dimahkotakan sebagai juara termuda Formula Satu (F1) apabila kejayaannya memenangi perlumbaan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi memastikan kejayaan berganda buat pasukan Red Bull.

Pada usia 23 tahun dan 106 hari, Vettel yang mendahului sejak dari petak pertama berjaya mengatasi cabaran hebat Lewis Hamilton daripada pasukan McLaren.

Hamilton merupakan pemegang rekod juara termuda sebelum ini pada usia 23 tahun dan 307 hari.

Tempat ketiga dimenangi oleh bekas juara 2009, Jenson Button yang juga rakan sepasukan Hamilton.

Dalam perlumbaan penuh aksi itu, pendahulu pra-perlumbaan Fernando Alonso dan rakan pasukan Vettel, Mark Webber gagal memberikan saingan sengit setelah melakukan pit-stop lalu tercicir daripada saingan.

Vettel menamatkan cabaran musim ini dengan 256 mata di hadapan Alonso yang mengutip 252 mata dan diikuti oleh Webber dengan 242 mata dan Hamilton dengan 240 mata. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.