Mangsa banjir: 2,016 penduduk di Kedah, 1,096 di Perlis telah dipindahkan
Seramai 2,016 penduduk daripada 483 keluarga di beberapa daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak kelmarin.Daripada jumlah itu, 1,449 penduduk daripada 359 keluarga dari daerah Padang Terap, manakala 491 mangsa daripada 101 keluarga dari Kubang Pasu dan 70 penduduk daripada 23 keluarga di Kota Setar.
Penghulu Mukim Tualak, Padang Terap, Sharizan Shaari berkata, 28 kampung di daerah itu dilanda banjir dan mangsa dipindahkan bermula 7 pagi semalam.
Antara kampung terlibat Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.
Sebanyak 28 pusat pemindahan dibuka, antaranya di dewan kampung Mani A, surau kampung Mani B dan Mani C, dewan Felcra Tualak, dewan Kampung Padang Sanai, bangunan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), masjid Kampung Labi, masjid Kampung Tanjung serta masjid Bendang Raja.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kubang Pasu, Fadzin Long, berkata 342 daripada 65 keluarga ditempatkan di Dewan Changkat Setoi, Changlun.
Seramai 133 lagi daripada 30 keluarga dari Kampung Belukar dan Kampung Darat, Changlun ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, manakala seramai 16 orang daripada enam keluarga di Sekolah Kebangsaan Malau.:
Menurutnya, jumlah berkenaan dicatat sehingga jam 6 petang, semalam, dan dijangka meningkat.
Di Kota Setar, Ketua Kampung Taman Indah, Shuib Mahmod berkata, di kawasan Anak Bukit, di sini, dua pusat penempatan mangsa banjir dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Gunung dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.
Katanya, sehingga jam 6 petang, semalam, seramai 16 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Gunung manakala 60 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke SK Titi Gajah.
Kebanyakan mangsa yang dipindahkan adalah dari kampung Lorong Pam Air dan Alor Perang, Anak Bukit, di sini.
Di Pokok Sena, dua jalan utama yang menghubungkan daerah itu dengan Kuala Nerang dan Bukit Pinang dinaiki air dan telah ditutup kepada kenderaan ringan, namun tiada penduduk dipindahkan setakat ini.
Di Perlis pula, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat dan sehingga petang semalam, seramai 1,096 mangsa dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.
Kebanyakan mangsa ditempatkan di Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan iaitu seramai 386 orang, Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup (383), Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi (112), Maktab Rendah Sains Mara Beseri (69) dan Dewan Sivik Arau (60). -SH
Post a Comment