Bekas pengacara televisyen dicekup bersama wanita sudah bersuami
AMPANG: Seorang bekas pengacara lelaki bagi salah sebuah rancangan televisyen tempatan dicekup bersama seorang wanita yang telah mendirikan rumah tangga dalam satu serbuan yang dilakukan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah di kediaman yang diduduki wanita berkenaan di salah sebuah Apartmen di sini, awal pagi semalam.Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman (Gambar) berkata, pihaknya melakukan operasi tersebut berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima.
“Operasi itu dijalankan kira-kira jam 2 pagi di kediaman wanita berkenaan, pasangan terbabit mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuka pintu rumah. Ketika tangkapan, kedua-dua pasangan berpakaian lengkap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, daripada siasatan awal, lelaki tersebut berusia 27 tahun manakala wanita berkenaan berusia dalam lingkungan 25 tahun.
“Difahamkan lelaki tersebut masih bujang dan dia memaklumkan kepada kami dia tidak bekerja, pasangan tersebut dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk membuat laporan.
“Pada masa yang sama kami mengarahkan pasangan tersebut hadir ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 4 Oktober ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ahmad Nawi berkata, pihaknya meneruskan operasi kira-kira jam 3.30 pagi di salah sebuah rumah kedai di Pandan Jaya.
“Pihak kami telah mendapati rumah kedai berkenaan telah diubahsuai dan mem-punyai tujuh bilik seperti sebuah asrama. Kami mengetuk pintu salah sebuah bilik berkenaan kira-kira hampir 20 minit.
“Setelah pintu tersebut dibuka, kami mendapati terdapat seorang lelaki bersama-sama dua orang perempuan di dalam bilik berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, ketika tangkapan, kesemua individu berkenaan berpakaian lengkap dan siasatan awal mendapat lelaki yang berusia 22 tahun itu bekerja di salah sebuah syarikat swasta, manakala kedua-dua perempuan yang berusia 19 tahun itu masih menuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi tempatan (IPTA).
“Kesemua mereka turut dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk pihak kami membuat laporan dan seterusnya mengarahkan kesemua individu terbabit hadir ke pejabat Jais pada pagi ini (semalam) untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua operasi tersebut dijalankan di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh di denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. -SH
Post a Comment