Header Ads

Piala Malaysia 2010 (suku akhir pertama): N. Sembilan catat kemenangan tipis

Negeri Sembilan hanya mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis dalam perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia 2010 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

(Penyerang N.Sembilan, Norizam Salaman mengasak penjaga gol Perlis, Suhardy Alby dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. -foto D5 Sport)

Gol tunggal Shahurain Abu Samah enam minit setelah separuh masa kedua bermula sudah cukup untuk dijadikan modal buat anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang bakal bertandang ke kubu kuat Perlis, Stadium Utama di Kangar Sabtu ini.

Perlis tampak tidak bermaya di sepanjang perlawanan dan dan ini jelas ditunjukkan menerusi jumlah penguasaan hampir 60 peratus yang dinikmati oleh N.Sembilan namun pasukan Jang tidak menggunakan peluang yang terhidang serta kesempatan beraksi di tempat sendiri untuk menghukum Perlis dengan lebih banyak gol lagi.

Alasan terpaksa menempuh jarak perjalanan yang jauh mungkin boleh diguna-pakai oleh pasukan kendalian Yunus Alif tersebut tetapi kesungguhan Perlis untuk membawa pulang sesuatu daripada Paroi boleh dipertikaikan, lebih-lebih lagi apabila mereka gagal mendapat walau satu pun sepakan sudut berbanding tiga yang diperolehi oleh N.Sembilan.

Perlis bermula garang seawal minit kelapan menerusi larian kencang Azrul Ahmad yang berjaya mengatasi Tg Qayyum di bahagian kiri N.Sembilan tetapi pasukan Singa Utara itu lebih gemar bertahan dan menyerap asakan demi asakan N.Sembilan pada separuh masa pertama. Dua sepakan percuma yang diangkat oleh Hazrul Mustafa juga mengecewakan Yunus Alif apabila bola melambung melepasi pintu gol N.Sembilan.

N.Sembilan memperoleh peluang keemasan pertama pada minit ke-22 apabila sepakan percuma kapten mereka, Rezal Zambery gagal disudahi Ching Hong Aik walaupun tidak dikawal di penjuru pintu gol Perlis.

Sembilan minit kemudian, Norizam Salaman juga mensia-siakan peluang terbaik N.Sembilan apabila tandukannya sekadar mengegarkan jaring atas gol Perlis dan kegagalan beliau menjaringkan gol tersebut menyebabkan Wan Jamak hilang sabar dan segera menggantikannya dengan Shahurain.

Barisan serangan N.Sembilan mula menampakkan bisa hasil pertukaran tersebut dan sejurus babak kedua bermula, pemain terbaik perlawanan, Abdul Halim Zainal melorongkan bola ke laluan Shahurain dan pemain tersebut mudah menjaringkan gol melalui celah kangkang penjaga gol Perlis, Suhardy Alby untuk gol tunggal perlawanan.

Menyedari satu gol sahaja tidak mencukupi, N.Sembilan menggandakan asakan namun barisan penyerang tuan rumah seringkali mengecewakan ribuan peminat yang datang memberikan sokongan kepada pasukan mereka itu.

Seakan terkedu dengan asakan N.Sembilan, Perlis mengambil langkah negatif apabila mula membuang masa dan melengah-lengahkan permainan serta enggan menyerang balas apabila diberikan peluang.

Kunanlan pula hampir-hampir menambah jaringan buat N.Sembilan namun tendangannya hanya sedikit tersasar dan N.Sembilan terpaksa berpuas hati dengan kemenangan tipis tersebut dan masih belum boleh menarik nafas lega lagi setakat ini. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.