Header Ads

Sukan Komanwel: Nicol hampiri emas kedua bersama Beng Hee

NEW DELHI: Pemain skuasy no.1 negara Nicol David menghidupkan peluangnya untuk merangkul emas berganda apabila dia dan rakan senegara Ong Beng Hee berjaya bangkit daripada aksi lesu pada babak awal untuk mara ke peringkat suku akhir beregu campuran pada Sukan Komanwel 2010.

Nicol meraih pingat emas pertamanya pada hari Jumaat lalu tetapi mengalami kekalahan mengejutkan di dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Namun, kekecewaan tersebut berjaya ditebus apabila pasangan beregu negara Nicol-Beng Hee berjaya mara ke peringkat seterusnya dengan menundukkan 11-7, 11-3 pasangan dari England Adrian Grant dan Sarah Kippax.

"Nicol sangat pantas dan pukulannya juga hebat, secara taktikalnya ia membantu prestasi kami di dalam gelanggang," kata Beng Hee.

Di samping itu, Nicol turut meluahkan rasa gembiranya dan optimis untuk mara lebih jauh lagi.

"Kami semakin serasi sekarang dan cara kami bermain di dalam gelanggang juga meningkat," kata Nicol.

Pasangan beregu campuran negara dijadualkan berhadapan pasangan dari tuan rumah iaitu Joshna Chinappa dan Saurav Ghosal yang dijangka akan memberi laluan sukar.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu dari Australia David Palmer dan Donna Urquhart yang berjaya menewaskan Frania Gillen-Buchert dan Alan Clyne dari Scotland 11-5, 11-7. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.