Liga Sepanyol: Barcelona terlepas peluang kutip mata penuh
BARCELONA: Barcelona terlepas peluang untuk mengutip mata penuh di tempat sendiri setelah hanya mampu seri 1-1 menentang Real Mallorca.(Pemain Barcelona, Lionel Messi kelihatan sugul selepas pasukannya hanya mampu seri 1-1 menentang Real Mallorca di Nou Camp. -foto AFP)
Barca yang turun tanpa dua tonggak utama, Xavi yang masih cedera dan David Villa yang masih digantung perlawanan kelihatan seperti tiada penyudah yang tajam.
Lionel Messi, yang kembali selepas berehat untuk rawatan kecederaan kaki membuka tirai jaringan seawal minit ke-20.
Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, Emilio Nsue menjaringkan gol penyamaan untuk Mallorca. Nsue menanduk masuk hantaran dari tendangan sudut.
Ketiadaan pemain, Carles Puyol dan Sergio Busquets agak memberi kesan kepada barisan pertahanan Barca.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, Barca yang menguasai permainan cuba menembusi benteng Mallorca tetapi penyudah yang kurang tajam mengakibatkan tiada penambahan gol.
Kesilapan Gerard Pique pada minit ke-62 hampir membawa padah kepada Barca. Pique secara tidak sengaja menghantar bola kepada pemain lawan, Pierre Webo yang terus merembat ke arah gol.
Mujur penjaga gol Barca, Victor Valdes pantas menempis bola itu keluar untuk menyelamatkan kesilapan itu.
Kedudukan kekal sehingga wisel penamat. -AFP
Post a Comment