Bapa rogol anak tidak dibenar ikat jamin
KUANTAN: Mahkamah Sesyen 4 Kuantan, tidak membenarkan ikat jamin ke atas seorang bapa yang dituduh merogol anaknya sendiri dengan alasan keselamatan dan kebajikan mangsa serta adik-beradik perempuannya.Hakim Mahkamah Sesyen 4, Irwan Suaimbon membuat keputusan itu selepas selesai meneliti hujah pendakwa raya dan peguambelanya.
Timbalan Pendakwaraya, Mahadi Abdul Jumaat dalam hujahnya meminta tertuduh tidak diikat jamin kerana mangsanya yang kini berusia 15 tahun tinggal di rumah bersama ibunya dan adik-beradik lain.
“Dalam kes ini, bukan hanya membahayakan mangsa tetapi adik-beradiknya yang lain selain tidak mustahil tertuduh akan mempengaruhi mangsa,” katanya.
Sebelum itu, peguam belanya, Husain Safri meminta lelaki itu diikat jamin kerana semua anaknya masih bersekolah dan tinggal di asrama manakala isterinya seorang warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen.
Husain dalam pembelaannya percaya tertuduh boleh memberi kerjasama dan membantu di samping terus mencari sumber kewangan untuk keluarga.
Tertuduh yang berusia 34 tahun itu juga dikatakan menanggung semua sembilan anaknya yang berusia dari 10 bulan hingga 17 tahun dengan hasil kerjanya sebagai nelayan kecil.
Lelaki itu dituduh merogol anaknya yang ketika itu berusia kira-kira 14 tahun di sebuah bilik di rumah tidak bernombor di Kampung Geting Pulau Tioman pertengahan tahun lalu kira-kira jam 2 petang.
Irwan juga meminta semua ujian ke atas bukti kes itu dipercepatkan dan tarikh sebutan semula 18 November
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara selama tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dijatuhi hukuman sebat. -SH
Post a Comment