Ronaldo penggerak kemenangan Real Madrid
MADRID: Cristiano Ronaldo menyumbatkan gol penalti dan mencipta satu lagi gol untuk Gonzalo Higuain untuk membantu Real Madrid mengatasi Espanyol 3-0 dalam satu perlawanan Liga Primera kelmarin.Gol tersebut adalah yang pertama untuk penyerang Portugal itu musim ini sementara kemenangan kelmarin pula adalah yang ketiga berturut-turut untuk Real yang membolehkan mereka melompat ke tangga teratas liga.
Kedua-dua pasukan kehilangan seorang pemain dengan perlawanan tinggal 30 minit lagi dan Espanyol terpaksa bermain dengan sembilan orang pada lewat permainan.
Jurulatih Real, Jose Mourinho, telah membidas keadaan padang yang teruk selepas perlawanan itu dan turut merungut mengenai jadual perlawanan yang ketat.
Perlawanan kelmarin menyusul perlawanan mereka dalam Liga Juara-Juara pada Rabu lalu.
“Pada keseluruhannya, saya puas hati kerana tidaklah mudah bermain di padang yang seperti kentang, tidaklah mudah bermain setiap dua hari dan tidaklah mudah menentang lawan yang tidak akan hilang apa-apa lagi,' kata jurulatih dari Portugal itu dalam satu sidang akhbar.
“Selepas menimbangkan semua faktor dan meskipun pasukan saya tidak bermain dengan baik, saya berpuas hati. Kami perlu meningkatkan permainan tetapi lebih penting lagi, kami perlu berehat.”
Pasukan pelawat bermula dengan memberangsangkan di Bernabeu apabila percubaan Jose Callejon yang tidak diawasi tidak begitu jauh tersasar daripada gawang Real seawal minit keenam.
Bagaimanapun, permulaan Espanyol yang menggalakkan itu dirosakkan selepas 30 minit apabila Luis Garcia memegang bola daripada satu tendangan bebas Ronaldo dan pengadil menunjukkan pada tempat tendangan penalti.
Penyerang Portugal itu menemui sasaran pada tendangan pertamanya tetapi diarahkan mengambilnya semula selepas para pemain masuk ke kotak penalti.
Meskipun ketinggalan, Espanyol tetap gigih mencari gol penyamaan dalam separuh kedua dan Joan Verdu memaksa Iker Casillas bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya pada minit ke-53.
Pemain pertahanan Real, Pepe, kemudian dilayang dua kad kuning dalam tempoh yang singkat sementara Ernesto Galan dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Ronaldo.
Perlawanan menjadi lebih terbuka dan kedua-dua pasukan mempunyai peluang sebelum hantaran Ronaldo membolehkan Higuain menewaskan penjaga gawang Espanyol, Carlos Kameni, untuk gol kedua Real.
Penyerang Perancis, Karim Benzema, yang menggantikan Higuain, menjadikan kedudukan 3-0 dengan sentuhan pertama beliau. -Reuters
Post a Comment